Tak Layan Provokasi, Alex Akui Telah Meminta Maaf Kepada Lobo

AZAMUDDIN AKIL (kanan) mengejek pemain Pulau Pinang, Reinaldo KUALA LUMPUR 10 Mei – Sejak minggu lalu, Mohd. Azamuddin Akil menjadi mangsa kecaman peminat bola sepak gara-gara tindakannya mengejek pertahanan import Pulau Pinang, Reinaldo Lobo dalam perlawanan Liga Super menjadi viral di laman sosial.

Dalam perlawanan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin itu, Azamuddin yang berang dengan tindakan Lobo yang dianggap berpura-pura cedera melakukan provokasi terhadap pemain dari Brazil itu ketika berada di tepi padang dengan membuat pelbagai mimik muka serta gaya.

Ekoran tindakan tersebut, pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) itu dikecam hebat oleh peminat dan dihujani cacian di laman-laman sosial, namun ia sedikit pun tidak menganggu fokus Azamuddin menjelang perlawanan akhir Piala FA menentang PKNS FC, Sabtu ini.

Tegas pemain yang lebih dikenali dengan jolokan Alex itu, dia menganggap isu tersebut sudah selesai kerana telah meminta maaf kepada Lobo sejurus tamat permainan dan tumpuannya kini hanya mahu membantu JDT merangkul kejuaraan Piala FA buat kali pertama di Stadium Shah Alam.

“Saya dah lupakan perkara itu dan jadikan ia sebagai pengajaran. Apa yang penting sekarang adalah fokus kepada perlawanan akhir Piala FA di Shah Alam, Sabtu ini.

“Hal ini sebenarnya sengaja diperbesarkan oleh segelintir pihak yang tidak sukakan saya. Lagi pun, selepas tamat permainan saya telah meminta maaf kepada Reinaldo Lobo kerana sikap saya yang agak keterlaluan itu dan dia telah memaafkan.

“Ada juga yang cakap saya tidak profesional..bagi saya sebelum ini Luis Suarez (penyerang Barcelona) pun pernah gigit pemain lain dan perbuatannya lebih teruk daripada apa yang saya buat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.


Jika diberi kepercayaan oleh jurulatih JDT, Mario Gomez untuk diturunkan Sabtu ini, ia akan menjadi penampilan kedua buat pemain berusia 31 tahun itu di pentas akhir Piala FA. Dia sebelum ini dia pernah membantu Pahang menjulang piala tersebut pada tahun 2014.

Bagaimanapun Azamuddin tidak mahu mengambil mudah tentangan PKNS FC yang dilihat mampu melakukan kejutan selepas pasukan itu mengetepikan beberapa pasukan daripada Liga Super iaitu Felda United dan Perak.

Katanya lagi, dia kini telah bersedia daripada segi mental dan fizikal sekiranya menjadi pilihan jurulatih untuk diturunkan.

“Saya telah bersedia untuk beri yang terbaik. Memang kami ada kelebihan daripada segi penyokong tetapi semuanya bergantung kepada persembahan pemain. Kami tidak boleh pandang rendah keupayaan PKNS FC kerana mereka memiliki pemain bagus terutama pemain-pemain import.

“Piala FA amat penting untuk dihadiahkan kepada penyokong kerana kami tidak pernah menang lagi, jadi semua pemain perlu memberi aksi terbaik,” ujar pemain kebangsaan itu.

Utusan