Pemain Perlis Cabar Peminat Turun Bermain

Netizen terutama peminat bola sepak negeri Perlis begitu kecewa dengan kejadian yang berlaku di stadium Likas.

“Kalau abang rasa boleh main, ambil kasut saya masuk main.”

Ayat itu dilemparkan salah seorang pemain bola sepak Perlis kepada sekumpulan penyokong mereka sebaik tamat perlawanan menentang Sabah dalam saingan Liga Perdana di Stadium Likas semalam.

Tindakan kurang profesional pemain pertahanan, Arman Fareez Ali mengundang kemarahan penyokong Perlis yang sanggup mengharungi beribu-ribu kilometer merentasi Laut China Selatan untuk memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada pasukan Singa Utara.

Mereka bukan saja kecewa dengan kekalahan 0-1 di tangan pasukan tuan rumah, malah tidak berpuas hati prestasi pasukan bimbingan Dollah Salleh yang terus mempamerkan aksi buruk dan terbaru, insiden yang langsung tidak dijangka itu.

Menurut salah seorang penyokong Perlis yang menyaksikan perlawanan itu, sebaik wisel penamat ditiupkan mereka memanggil kesemua pemain untuk mendapatkan penjelasan kenapa terus-menerus mempamerkan aksi tidak bertenaga.


“Kami bertanya kepada pemain apa sudah berlaku dan minta penjelasan kerana sudah beberapa perlawanan prestasi mereka hambar dan tidak meningkat,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Jelasnya, ketua pasukan, Afif Amiruddin dan anak jati negeri itu, Azmizi Azmi, berusaha untuk menerangkan apa yang berlaku dengan menekankan mereka sudah memberikan aksi terbaik.

“Tapi secara tiba-tiba, salah seorang pemain (Arman) mencelah dan berkata kepada kami yang dia sanggup memberikan kasutnya supaya kami pula bermain menggantikan tempatnya.

“Kami terkejut dengan kata-kata seperti itu yang keluar dari mulut pemain berkenaan. Apa yang kami mahukan hanya penjelasan mengenai kemerosotan prestasi tapi dibalas dengan kata-kata kurang profesional.

“Kami mahu pemain itu memohon maaf,” kata penyokong Perlis itu yang enggan dikenali.

Apa yang dilakukan pemain berkenaan juga menjadi viral di beberapa laman sosial dan mendapat reaksi negatif daripada netizen.

Ada juga netizen yg mahu Arman memberi gajinya jika mahu peminat menggantikannya. Difahamkan  Arman Fareez Ali dibayar hampir 15 ribu sebulan oleh PAF. Beliau merupakan bekas pemain pasukan PDRM.

Selepas 11 perlawanan Perlis hanya mencatatkan tiga kemenangan, tiga seri dan lima kekalahan untuk berada di tangga kelapan liga, lebih satu mata daripada Sabah yang menghuni tangga kesembilan.

Lebih menarik skuad kali ini dibarisi beberapa pemain berpengalaman dan Dollah pula bekas jurulatih kebangsaan, namun apa yang diharapkan penyokong untuk melihat Perlis kembali ke Liga Super musim depan sangat samar.