Pemain JDT Tulang Belakang Harimau Malaysia – Kim Swee

Ong Kim SweeKetua jurulatih negara, Datuk Ong Kim Swee, tidak menafikan kehadiran 10 pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) kali ini ibarat tulang belakang buat skuad Harimau Malaysia.

Walaupun 10 pemain dari skuad bimbingan Mario Gomez itu terpaksa lewat melaporkan diri susulan memberi laluan kepada aksi Piala AFC, ia tetap tidak mengubah perancangan Kim Swee untuk menjadikan pemain elit ini sebagai sandaran utama dalam aksi ‘play off’ Piala Asia, bertemu Timor Leste pada 2 dan 6 Jun depan.

Perancangan Kim Swee dalam aksi persahabatan menentang Myanmar pada Sabtu depan di Larkin, akan memberi tumpuan kepada aksi pemain JDT untuk 45 minit kedua.

Kim Swee tidak menafikan, 10 pemain dari JDT ini adalah tulang belakang untuk pasukannya, di samping menegaskan kelibat pemain lain juga penting untuk negara.


“Kalau kita lihat daripada senarai pemain yang dipanggil, hampir separuh datangnya dari JDT. Bukan setakat berpengalaman tetapi mereka ini mempamerkan prestasi baik bersama JDT.

“Sememangnya ia memberi kelebihan buat JDT yang mengumpulkan pemain terbaik negara,” katanya.

Nada pemain tengah Kedah, Baddrol Bakhtiar, tidak menggambarkan dia gentar dengan persaingan daripada semua pemain yang hadir untuk kem latihan kali ini. Baddrol bertekad untuk merebut tempat dalam  kesebelasan utama.

“Bagi saya sendiri, setiap posisi menghadirkan persaingan yang sengit, cuma terpulang kepada jurulatih untuk menentukan siapa yang berhak beraksi,” katanya.

Stadiumastro