Mourinho Tandatangani Kontrak Bersama Man United, Jaguar ‘Pecah Rahsia’ Pelantikan

JOSE Mourinho bersetuju dengan syarat-syarat bersama Manchester United dan dilaporkan telah menandatangani kontrak awal pagi Jumaat.

Menurut laporan Sky Sport, pengurus Portugis itu telah menandatangani kontrak bernilai 45 juta pound (RM270 juta) selama tiga tahun dan bakal diumumkan sebagai pengurus baharu Manchester United pada Jumaat bagi menggantikan Louis van Gaal yang dipecat Isnin lalu.

Pengumuman tersebut sepatutnya berlangsung Rabu lalu, namun terpaksa ditangguhkan berikutan terdapat sedikit konflik penajaan peribadi bekas pengurus Chelsea itu dengan rakan kongsi komersial Red Devils.

Lewat petang Khamis, Mourinho dilihat keluar dari rumahnya di London dengan bersut lengkap menuju ke Manchester bagi sesi penggambaran rasmi sebelum pengumuman berlangsung.

Sementara itu akibat terlalu teruja, penaja Mourinho, Jaguar mengucapkan tahniah kepada Jose Mourinho sebelum kelab mengumumkan secara rasmi pelantikan pengurus baharu itu.


Jaguar memuat naik status di laman Twitter miliknya pada lewat Khamis malam: “Tahniah kepada Jose Mourinho di atas pelantikan @ManUtd. Dia akan sentiasa menjadi #TheFrozenOne kepada kita.”

Bagaimana pun status itu dipadamkan beberapa jam selepas itu.

Status tersebut dimuat naik selepas Mourinho dilaporkan sudah menandatangani kontrak bersama Man United lewat malam Khamis.

Bekas pengendali Chelsea itu, kelihatan bersahaja berjalan pulang ke rumahnya dengan memakai sut berjenama Hugo Boss selepas dikatakan bertemu dengan pihak kelab.

United dijangka akan membuat pengumuman rasmi mengenai pelantikan pengurus baharu mereka pada Jumaat dan seterusnya bermulalah tugas Mourinho membawa pemain-pemain pilihannya ke Old Trafford.