Kafa Jalin Kerjasama Dengan FC Bari

KUALA LUMPUR: Pemilik dan pemegang saham majoriti kelab Itali FC Bari 1908, Datuk Dr Noordin Ahmad merancang untuk membawa tiga pemain muda terbaik Kelantan menimba pengalaman di akademi pasukan itu.

Menurut beliau, rancangan itu adalah satu usaha melalui kerjasama yang dijalinkan antara Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dan FC Bari 1908.

“Saya bayangkan kita akan pilih tiga pemain terbaik Kelantan, beri peluang kepada mereka untuk berlatih bersama Bari FC,” katanya pada sidang media mengumumkan kerjasama antara Bari FC dan Kafa di sini Khamis.

Beliau berkata proses pemilihan tiga pemain itu akan dilakukan setiap tahun untuk membantu pembangunan pemain di negeri tersebut.


“Saya sambut baik dan seronok dengan kerjasama ini. Kita ada bincang beberapa idea yang akan dilaksanakan nanti,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kafa Tan Sri Annuar Musa menyifatkan kerjasama tersebut unik dan istimewa memandangkan beliau dan Noordin mengenali antara satu sama lain sejak berusia 12 tahun.

“Kami dah kenal lama, dulu sama-sama main ragbi, kami tak main bola. Kami tak pernah berhubung sehinggalah dipertemukan semula melalui bola sepak.

“Saya dalam bidang politik dan Noordin pula seorang ahli perniagaan. Kerjasama ini lebih bermakna dalam konteks pembangunan bola sepak di peringkat akademi,” katanya.