Kafa Ambil tindakan Ke Atas Pemain Bermasalah

Wan ZACK HAIKAL WAN NOR (kiri) berjalan meninggalkan padang selepas KOTA BHARU 24 Mei – Pemain pasukan Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQP TRW) akan dikenakan tindakan oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) sekiranya didapati melanggar kod etika pemain.

Setiausaha Agung Kafa, Datuk Ismail Md. Noor berkata, lembaga tatatertib badan itu berhak mengenakan tindakan ke atas pemain yang didapati bersalah.

“Pemain yang melanggar disiplin boleh dikenakan tindakan di bawah peraturan 4.2. Saya ingin menegaskan, persatuan memang berhak mengambil tindakan jika ada pemain melanggar disiplin.

“Bentuk hukuman sama ada denda atau sebagainya, itu terserah kepada jawatankuasa tatatertib untuk menentukannya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas layangan kad merah ke atas Wan Zack Haikal Wan Nor dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dalam dua perlawanan Liga Super menentang Selangor di Shah Alam dan Kota Bharu baru-baru ini.

Bekas pemain Kelantan mahu Kafa mengenakan hukuman berat ke atas mana-mana pemain pasukan itu yang melanggar disiplin termasuklah menumbuk pemain lawan ketika perlawanan sedang berlangsung.

Bekas pemain era 70-an, Afandi Yusof berkata, hukuman itu perlu dikuatkuasakan semula untuk mendisiplinkan pemain PQP TRW.


Ismail memberitahu, beliau akan merujuk isu tersebut kepada Jawatankuasa Tatatertib Kafa yang dipengerusikan Azmi Abdullah tidak lama lagi.

Katanya, Kafa tidak akan bertolak ansur dengan pemain yang meraih kad merah kerana gagal mengawal emosi ketika beraksi bersama pasukan itu.

“Semua pemain Kelantan terikat dengan peraturan kerana mereka telah menandatangani aku janji untuk menjaga tingkah laku dan nama baik pasukan. Kedua, mereka juga telah menandatangani kontrak selaku pemain profesional.

“Ketiga, kod etika pasukan Liga Malaysia juga memang jelas ada peraturan bersabit kesalahan dan hukuman yang boleh dikenakan ke atas pemain jika melanggar disiplin.

“Kafa juga ada tanggungjawab besar kepada penyokong, mereka hendak lihat pasukan ini berjaya dan meraih kemenangan tetapi dikecewakan dengan tindakan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh pemain,” katanya.

Sumber Utusan