K Devan tinggalkan Kelantan, KAFA bakal umum pengganti

MASA depan K. Devan bersama skuad Kelantan akhirnya terjawab, apabila jurulatih itu meletak jawatan berkuatkuasa serta-merta.

Pengganti K Devan selaku ketua jurulatih pasukan bolasepak Kelantan yang meletak jawatan, semalam akan diumumkan petang ini.

Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya sudah mengenal pasti calon sesuai untuk galas tugas itu dan akan diumumkan dalam sidang media di Menara MARA, Kuala Lumpur kira-kira 4.45 petang.

Teka-teki mengenai nasib Devan bersama juara ‘treble’ 2012 itu akhirnya menemui noktah apabila jurulatih berusia 55 tahun itu menyerahkan surat perletakan jawatannya lewat petang semalam.

Difahamkan, surat tersebut diserahkan kepada Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) yang menerima keputusan Devan untuk tidak lagi meneruskan khidmatnya.


Devan yang memulakan tugasnya di Kota Bharu memberi alasan peribadi untuk mengundur diri dan berterima kasih kepada seluruh pengurusan KAFA.

Di bawah bimbingan Devan, The Red Warriors gagal bangkit daripada kekecewaan apabila kini menduduki tangga keenam Liga Super dengan hanya meraih 10 mata daripada 12 perlawanan.

Kelantan juga tersingkir dari saingan Piala FA selepas tewas kepada Kedah dalam pusingan ketiga.

Devan merupakan jurulatih kelima dalam saingan Liga Super yang meninggalkan pasukan, sama ada meletak jawatan ataupun direhatkan, musim ini.

“Devan meletak jawatan selepas berbincang dengan KAFA sejak beberapa minggu lalu. Kami mengucapkan terima kasih atas khidmat beliau.

“Devan seorang yang dedikasi dan jujur. Kedatangannya ke Kelantan dengan ikhlas mahu membantu dengan terma yang paling ringan.

“Beliau juga mengundur diri secara baik dan penuh hormat selepas secara peribadi merasakan sudah berusaha sebaik mungkin,” katanya dalam kenyataan Tan Sri Annuar Musa yang dimuat naik di laman Facebook, pagi ini.