Harimau Malaysia Tiada Isu Keletihan Bertemu Myanmar

Pengendali kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee, bertegas tiada isu keletihan pemain boleh dibangkitkan menjelang aksi persahabatan dengan Myanmar pada Sabtu.

Melewati tempoh perjalanan selama 2 jam 40 minit, ia bukan masalah besar buat skuad negara yang berkunjung ke Yangon, Myanmar untuk aksi persahabatan sebelum play-off Kelayakan Piala Asia di Johor Bahru, minggu depan .

“Jadual kita sudah ditetapkan dan jarak di antara Yangon dan Kuala Lumpur tidak begitu jauh, jadi saya percaya setiap pemain saya sudah cergas 100 peratus sebelum berdepan Myanmar esok (Sabtu),” jelasnya.

Berhadapan Myanmar, Kim Swee yakin separuh daripada pemain mereka adalah pemain muda yang mempamer peningkatan di peringkat antarabangsa dari semasa ke semasa.


“Baru-baru ini, pasukan remaja mereka berjaya mara ke Piala Dunia Remaja, ini sudah tentu membuktikan mereka bakal memberi saingan sengit,” katanya.

Menjangkakan ia bukan aksi mudah pada Sabtu, Kim Swee mahu anak buahnya tidak memandang mudah terhadap lawan.

Skuad negara selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Yangon Mingaladon tepat jam 11.15 pagi waktu tempatan dan tiba di hotel setengah jam kemudian.