Gol ketiga JDT, ofsaid atau tidak? – Ulasan Subkhiddin

KUALA LUMPUR 2 Mei – Ketika Johor Darul Ta’zim (JDT) sudah pun sah ke final Piala FA, jaringan kemenangan mereka ketika menentang Kedah dalam perlawanan separuh akhir kedua itu masih dipertikaikan di laman sosial.

Ada yang menjadi penganalisis dengan turut membuat grafik ke atas rakaman perlawanan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos itu, yang dimenangi JDT 3-1 dan mara ke perlawanan akhir dengan agregat 4-3.

Bekas pengadil Piala Dunia, Subkhiddin Mohd. Salleh bagaimanapun berkata adalah sukar untuk menilai sama ada gol kemenangan JDT itu dilakukan dalam keadaan ofsaid.

Katanya, penilaian terhadap ja­ringan itu juga tidak boleh menggunakan bukti yang tidak jelas dan dilakukan mengikut emosi.

Pengadil Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan itu menegaskan, ini kerana rakaman yang digunakan dalam laman media sosial itu diambil dari sudut yang tidak selari de­ngan kedudukan penolong pengadil.

Tambah Subkhiddin, penolong pengadil pada kebanyakan masanya berusaha untuk berada seiring dengan pemain pertahanan kedua terakhir.

“Saya telah meneliti pelbagai ulasan yang melibatkan beberapa fakta yang sangat menarik yang telah diberikan kebanyakan pihak berkaitan gol ketiga yang dijaringkan oleh pasukan JDT.

“Fakta yang diberikan berkaitan pemahaman undang-undang permainan adalah betul, bagaimanapun tidak diambil dari sudut yang tepat apabila penjelasan berdasarkan kepada bukti video dan gambar yang tidak jelas.

“Bagi saya adalah sesuatu yang sangat sukar dan pasti melibatkan emosi sesetengah pihak apabila perlu membuat penilaian berdasarkan andaian semata-mata.


“Terdapat sesetengah pengkaji yang menyediakan garisan yang melintang di bahagian tertentu untuk membuktikan kedudukan pemain dan ini sangat mengelirukan sekali pun telah berjaya menarik minat pelbagai pihak.

“Saya tidak bermaksud untuk melindungi sebarang kesalahan yang dilakukan oleh mana-mana pengadil. Bagaimanapun ‘masyarakat bola sepak’ juga perlu bersikap adil tanpa melibatkan sebarang emosi apabila menghuraikan sesuatu isu berkaitan tanpa menidakkan keupayaan sebenar pengadil tempatan kita.

“Oleh itu, saya berpendapat isu seperti ini tidak sepatutnya dipanjangkan kerana keputusan yang diperbincangkan di sini hanyalah berdasarkan kepada andaian dan tidak membantu dalam perkembangan bola sepak negara.

“Saya cadangkan bahawa rakaman tersebut hanyalah sekadar untuk penonton menikmati perlawanan bola sepak sahaja tanpa boleh dijadikan bahan ilmiah untuk pendidikan mahupun rujukan yang sesuai,” katanya, yang sedang ber­ada di Myanmar ketika dihubungi.

Gol ketiga JDT Sabtu lalu menjadi isu hangat dalam media sosial kerana dikatakan beberapa pemain Harimau Selatan berada dalam posisi ofsaid ketika jaringan itu dilakukan oleh Jorge Pereyra Diaz pada minit ke-89.

Walaupun bukan posisi Diaz yang dipertikaikan, namun dua rakan sepasukannya iaitu Juan Martín Lucero dan S. Chanturu kelihatan ofsaid ketika cuba menyambut hantaran lintang Amri Yahyah dari sebelah kanan, sebelum bola yang ditepis lemah oleh penjaga gol Kedah, Farhan Abu Bakar disusuli oleh Diaz yang menjaringkan gol.

Subkhiddin, yang kini kini bertugas dengan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), juga mencadang­kan kepada pihak yang menyiarkan perlawanan berprofil tinggi di televisyen menggunakan peralatan lebih berkualiti untuk meningkatkan kualiti penyiaran.

“Rakaman perlawanan berprofil tinggi perlu menyediakan bajet yang lebih untuk menyediakan lebih banyak kamera agar video perlawanan tersebut dapat dirakam dari pelbagai sudut dan tidak hanya bergantung kepada satu sudut yang luas sahaja,” ujarnya.

Sementara itu penganalisis bolasepak bebas menyatakan bahawa gol tersebut sememangnya offside.

Lucero cuma boleh diflag offside jika dia terlibat dalam active play / intervention / memberikan pressure kepada GK. Dan ketika dia melakukan pressuring dan active play, Linesman patut naikkan flag. Namun ia tak dilakukan.