Bernhardt Buat Kejutan, Senaraikan Farhan Roslan Ke Kejohanan Nations Cup 2016

Ketua jurulatih skuad Projek 2017, Frank Bernhardt, membuat sedikit kejutan apabila menyenaraikan pemain tengah Kedah, Farhan Roslan, dalam senarai akhir 27 pemain yang akan menggalas cabaran Malaysia pada Kejohanan Piala Negara-Negara 2016 di Melaka, 3 hingga 5 Jun ini.

Dalam satu kenyataan yang dihantar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Bernhardt berkata keputusan itu dibuat selepas kecederaan pangkal paha Farhan disahkan pulih oleh pakar fisioterapi.

“Kami ada sedikit kejutan di mana Farhan telah disahkan pulih daripada kecederaan pangkal paha oleh fisio pasukan manakala Shah Amirul pula mengalami kecederaan lutut. Kami turut menerima laporan bahawa Shah tidak dapat beraksi sekurang-kurangnya untuk tempoh dua minggu,” katanya.

Pada 25 Mei lalu, Bernhardt memaklumkan Farhan digugurkan daripada skuad bawah 21 tahun negara selepas mengalami kecederaan tersebut.

Selain Shah Amirul, lima daripada senarai 33 pemain yang telah menyertai latihan pusat skuad bawah 21 tahun dari 26 Mei hingga 28 Mei lepas turut digugurkan oleh pengendali dari Jerman itu.

Antaranya ialah M Kogileswaran Raj (Frenz United), N Thanabalan (Negeri Sembilan), Muhammad Faizzudin Mohd Abidin (Selangor), Mohamad Arif Fadzilah Abu Bakar (T-Team) dan G Thipen Raj (MISC-MIFA).

“Saya menaruh kepercayaan terhadap semua pemain saya dan saya lihat mereka mempunyai kualiti yang baik. Namun, saya perlu katakan di sini bahawa kami telah mengadakan banyak latihan pusat dan kami perlu mengulang semula latihan dari aspek taktikal bagi membolehkan pemain kembali serasi dengan corak permainan yang kami mahukan.


“Objektif kami bagi kejohanan ini ialah untuk menang. Bagaimanapun, kami perlu pastikan integrasi pemain-pemain baharu ke dalam pasukan berjalan lancar untuk memperolehi gambaran yang lebih jelas mengenai kesebelasan terbaik,” tambahnya.

Malaysia bakal memulakan kempen kejohanan empat penjuru yang turut membabitkan Thailand dan Vietnam dengan menentang pasukan Singapura pada 3 Jun di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Berikut senarai akhir 27 pemain ke Kejohanan Piala Negara-Negara 2016:

Penjaga Gol

Muhammad Haziq Nadzli (PDRM), Ahmad Syihan Hazmi Mohamed (Kelantan), Amierul Hakimi Awang (Terengganu).

Pertahanan

Dinesh A/L Rajasingam (Frenz United), Muhamad Hafiy Haikal Ismail (JDT II), Dominic Tan Jun Jin (JDT II), Muhamad Danish Haziq Saipul Hisham (Negeri Sembilan), Muhammad Arif Farhan Md Isa (Kedah), Sanjef Dinesh A/L R S Baskeran (DRB-Hicom FC), Mohamad Faris Shah Mohd Rosli (Kelantan), Muhammad Irfan Zakaria (Kuala Lumpur), Muhammad Zulkhairy Zulkeply (Uitm FC), Mohd Adib Zainuddin (Uitm FC).

Pemain Tengah

Mohamad Faisal Abdul Halim (Pahang), Muhammad Syahmi Safari (Selangor), Muhammad Safawi Rasid (T-Team), Muhammad Zuasyraf Zulkiefle (T-Team), Mohammad Farhan Roslan (Kedah), Muhammad Syazwan Andik Mohd Ishak (JDT II), Muhamad Shahrul Hakim Rahim (Kelantan), Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri (Perak), Nur Shamie Iszuan Amin (Sarawak).

Penyerang 

Muhd Jafri Muhammad Firdaus Chew (Pulau Pinang), Adam Nor Azlin (Selangor), Muhammad Firdaus Saiyadi (Perak), Muhamad Arif Mohamed Anwar (Kuala Lumpur), Muhammad Syafiq Ahmad (Kedah).

 

Sumber stadiumastro