Bernhardt belum puas hati dengan pemain

PEMAIN-pemain skuad Projek Sukan SEA menjalani sesi latihan di PETALING JAYA 7 Mei – Penca­rian pemain untuk skuad projek Sukan SEA 2017 masih belum ber­akhir kerana jurulatih skuad itu Frank Bernhardt dilihat tidak berpuas hati dengan prestasi pemain sedia ada.

Jurulatih dari Jerman itu berharap kem latihan pusat ketiga yang bermula hari ini mampu menonjolkan beberapa pemain yang mampu menguatkan lagi skuadnya yang kini sedang me­lakukan persiapan untuk menyertai Kejohanan Nation Cup di Melaka bulan depan.

Malah beliau menjelaskan bahawa pemilihan pemain bukan sahaja tertumpu kepada mereka yang beraksi dalam Liga Super tetapi juga daripada Liga Perdana, Piala FAM dan Piala Presiden.

“Hari ini merupakan sesi latihan pertama diadakan jadi saya masih belum dapat melihat kelebihan yang dimiliki setiap pemain yang hadir.


“Saya masih mencari beberapa pemain untuk diserap ke dalam pasukan dan pemilihan pemain yang dilakukan bukan hanya tertumpu kepada pemain yang ber­aksi dalam Liga Super tetapi saya mahu melihat secara keseluruhan.

“Ini merupakan panggilan ketiga dan saya berharap dapat me­nemukan dua, tiga atau lebih pemain yang boleh menguatkan lagi pasukan,” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), di sini hari ini.

Selepas mengharungi beberapa perlawanan persahabatan Mac lalu, 25 pemain lagi dipanggil untuk menjalani sesi latihan pusat ketiga yang bermula hari ini dan akan berakhir sehingga 9 Mei.

Dalam kejohanan Nations Cup yang melibatkan empat pasukan bawah 22 tahun negara Asia Tenggara, skuad Bernhardt akan menentang Thailand, Singapura dan Vietnam.

Utusan