TINDAKAN ADAM TOLAK MOTOSIKAL KE GARISAN PENAMAT SENTUH EMOSI PENONTON

tindakan-adam-tolak-motosikal-ke-garisan-penamat-sentuh-emosi-penontonPelumba moto3 negara, Adam Norrodin menyentuh emosi penonton di Grand Prix Argentina apabila dia bangun dan mengambil keputusan menolak jenteranya selepas terjatuh pada 20 meter terakhir perlumbaan.

Dalam perlumbaan yang berlangsung di Litar Termas De Rio Hondo malam tadi, pelumba Drive M7 SIC Racing Team itu terjatuh ketika mengambil selekoh terakhir sejurus berjaya memotong pelumba Sepanyol, Jorge Navarro dalam persaingan tempat kedua.

Bagaimanapun, Adam mengambil keputusan menolak motosikalnya sambil berlari terhenjut-henjut akibat kesakitan hingga ke garisan penamat. Lariannya jelas semakin perlahan dan di penghujung garisan, Adam kelihatan tunduk ke bawah sambil terus menolak motorsikal.


Setelah tiba di garisan penamat dengan kedudukan di tangga ke-11, Adam mendapat tepukan gemuruh daripada penonton dan juga petugas di pit lane.

Sementara itu, seorang lagi pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi mencipta sejarah selepas menjadi rakyat Malaysia pertama memenangi perlumbaan di MotoGP, sekaligus menyaksikan nyanyian lagu Negaraku berkumandang buat kali pertama pada kejohanan motosikal utama dunia itu.

Pelumba dari Honda Team Asia itu menamatkan perlumbaan dengan 41 minit, meninggalkan Navarro dari pasukan Estrella Galicia 0,0 dengan 35.452 saat (kedua) dan pelumba Afrika Selatan, Brad Binder berada di tempat ketiga dan Andrea Locatelli dari Itali berada di tempat keempat.