Rombakan FAM, fahami perkara asas pemilihan – Khairy

Khairy-FAM-300x202KOTA SAMARAHAN 23 April – Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin meminta semua pihak yang mendesak agar Persatuan Bola­sepak Malaysia (FAM) dirombak agar memahami perkara asas berkaitan pemilihan pucuk pimpinan tertinggi badan induk bola sepak negara ini.

Jelas Khairy, FAM merupakan badan sukan yang mana pemilihan jawatankuasa tertinggi eksekutif­nya dilakukan melalui undian dalam Kongres FAM serta tidak boleh dilantik sesuka hati.

“Kalau orang memahami bahawa FAM itu adalah badan sukan yang mana jawatan tertingginya dipilih melalui undian dalam kongres maka mereka akan faham bahawa Kongres FAM akan datang adalah pada dua tahun lagi iaitu 2018.

“Selagi barisan kepemimpinan FAM hari ini tidak mengosongkan jawatan, peluang seterusnya untuk merombak adalah dalam Kongres 2018.

“Pemilihan itu pula dilakukan oleh ahli-ahli gabungan yang terdiri daripada persatuan bola sepak (FA) negeri, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lain-lain,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Program Jelajah Kampus Rakan Muda 2016 di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Kota Samarahan, hari ini.

Baru-baru ini, pelbagai pihak mendesak kepemimpinan ter­tinggi melepaskan jawatan ber­ikutan kemerosotan prestasi skuad kebangsaan di pentas antarabangsa.

Polemik bermula apabila Khairy mengeluarkan kenyataan yang menyifatkan kedudukan skuad Harimau Malaysia yang berada di anak tangga 174 ranking dunia sukar meningkat kerana itu sahaja tahap para pemain yang dimiliki sekarang.

Bagaimanapun kenyataan itu disahut Penasihat Diraja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menggesa untuk mengadakan perbahasan secara langsung di te­levisyen mengenai topik siapa yang bertanggungjawab atas kemerosotan itu.

Selepas itu, isu ini menarik minat Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa yang mencadangkan Tunku Ismail sebagai peneraju baharu FAM diikuti cadangan yang sama oleh Bapa Bola Sepak Johor, Datuk Suleiman Mohd. Noor.

Mengulas lanjut, Khairy memberitahu, saranan untuk rombakan ini tidak terjadi sekiranya syarat-syarat pemilihan pucuk pimpinan dalam setiap badan sukan difahami oleh semua pihak.

“Menteri tiada kuasa dalam melantik pemimpin dalam badan sukan. Kalau lantikan menteri, senanglah menteri buat keputusan. Setiap badan sukan di negara ini mempunyai perlembagaan tersendiri dan kesemua pemilihan dilakukan melalui undian ahli gabungan,” jelasnya, yang pernah menjadi Naib Presiden dan Timbalan Presiden FAM dari 2007 hingga 2010.

utusan