PKNS, Kedah Dan Perak Mara, Kecoh di Stadium Selayang

Kuala Lumpur: Sekurang-kurangnya dua penyokong cedera dalam kekecohan di Stadium Selayang, malam tadi.

Kekalutan berlaku selepas selesai perlawanan suku akhir kedua Piala FA antara Kuala Lumpur dan Perak.

Difahamkan, seorang daripada penyokong terbabit cedera di kaki akibat libasan senjata tajam.

Drama dipercayai bermula apabila sekumpulan penyokong membaling batu dari luar ke tempat duduk penonton di dalam stadium.

Suspek dibelasah

Penonton yang hanya mahu dikenali sebagai Ajai mendakwa lebih 20 penyokong memulakan kekecohan dengan membaling batu ke dalam stadium.

“Ketika itu, saya masih berada di dalam stadium dan terpaksa menyembunyikan diri,” katanya.

Mangsa cedera dibawa ke Hospital Selayang untuk mendapat rawatan.

Sementara itu Status Liga Perdana tidak menghalang PKNS FC mencatat kemenangan besar manakala Kedah dan Perak turut mara ke pusingan separuh akhir Piala FA 2016.

Aksi di Stadium Hang Jebat menyaksikan PKNS FC mencipta kemenangan 3-2 (agregat 7-2) ke atas Sime Darby menerusi jaringan Gabriel Guerra, Ahmad Shakir Ali dan Juan Cobelli.

Manakala, Kedah boleh berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 (agregat 3-2) menentang Sabah. Carlos Kahe menyempurnakan sepakan penalti seawal minit ke-22 sebelum Ummareng Bacok menyamakan kedudukan di Stadium Darul Aman.

Sementara itu, perlawanan antara Perak dan Kuala Lumpur menyaksikan The Bos Gaurus catat kemengangan 1-0 (agregat 2-0) menerusi gol penentu Nurridzuan Hassan di Stadium Selayang.

Saingan suku akhir kedua akan bersambung esok malam apabila Johor Darul Ta’zim cuba mempertahankan bekalan 1-0 sekali gus menyambut kunjungan PDRM di Stadium Larkin.