Piala Thomas: Zulfadli Kecewa BAM Pilih Dua Pemain Ranking Di Bawahnya

PEMAIN profesional negara, Zulfadli Zulkiffli nyata kecewa dengan keputusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang menyisihkannya daripada skuad yang akan beraksi pada pusingan akhir kejohanan berpasukan Piala Thomas dan Uber 2016 di Kunshan, China pada 15 hingga 22 Mei depan.

Menurutnya, dia ‘pening’ dengan pemilihan yang dibuat oleh badan induk badminton negara itu meskipun dia mendakwa sudah menerima serta menandatangani surat tawaran daripada BAM untuk menganggotai skuad Piala Thomas pada edisi kali ini.

Zulfadli yang merupakan juara remaja dunia 2011 itu turut mempersoalkan keputusan BAM berhubung pemilihan dua pemain yang memiliki ranking dunia yang lebih rendah daripadanya, Chong Wei Feng (ke-52) dan Goh Soon Huat (ke-59).

“Saya pun tidak faham mereka (BAM) buat pemilihan berdasarkan faktor apa. Saya juga belum dapat apa-apa jawapan daripada BAM, sedangkan saya sudah terima surat tawaran dan bersetuju dengan syarat-syarat yang dikemukakan.

“Baiklah, mungkin perseorangan kedua dan ketiga mampu buat perbezaan kerana sekiranya apa-apa yang terjadi dengan pasukan, perseorangan ketiga inilah yang menjadi penentu. Jadi, kenapa tidak diberikan kepada saya perseorangan keempat?

“Ini BAM ambil sampai dua pemain yang menghuni ranking jauh di belakang saya. Jadi, atas dasar apa BAM ambil sehingga dua pemain yang berada di ranking di belakang saya untuk mengambil tempat saya?” kata Zulfadli kepada Kosmo! menerusi aplikasi WhatsApp semalam.

Dakwa pemain yang berada di ranking ke-41 dunia itu lagi, ada segelintir pemain yang menggesa BAM untuk menyingkirkannya serta mengambil pemain lain yang memiliki pengalaman beraksi pada Piala Thomas dua tahun lalu.


“Saya sudah tandatangan surat tawaran untuk ke pusingan akhir Piala Thomas, namun ada pemain yang bersuara supaya BAM mendapatkan pemain tertentu untuk menggantikan saya. Pemain itu dipilih berdasarkan pengalaman dua tahun lepas.

“Kalau nak ambil kira faktor pengalaman, perseorangan kedua pun tidak miliki banyak pengalaman sama seperti saya. Walaupun pengalaman saya tak seberapa tapi saya adalah pemain perseorangan ketiga terbaik di Malaysia ketika ini.

“Saya ada tanya Morten Frost (Pengarah Teknikal BAM) semalam (kelmarin) berhubung perkara ini, namun beliau sendiri tidak boleh berikan jawapan sedangkan sebelum ini beliau mudah untuk berikan jawapan. Jadi, ada benda yang tidak kena,” tambahnya.

Justeru, Zulfadli memohon agar BAM mengkaji semula perkara tersebut dan berharap mereka lebih telus dalam pemilihan pemain ke Piala Thomas selain menerima keputusan yang dibuat BAM dengan hati terbuka.

“Saya harap mereka pertimbangkan balik perkara ini dan BAM perlu lebih telus memilih pemain. Benda ini mudah sahaja, kalau saya tak layak berdasarkan merit, saya tidak akan bersuara. Disebabkan saya tahu saya layak berdasarkan merit dan ranking dunia, saya bercakap.

“Bagaimanapun, kuasa memilih terletak di tangan BAM. Saya reda dan serahkan perjalanan karier saya pada Allah kerana saya tahu Dia akan berikan yang lebih baik kepada saya,” ujarnya lagi.

Zulfadli yang sedang beraksi pada Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Wuhan, China berjaya melangkah ke pusingan kedua selepas menewaskan pemain Hong Kong, Wei Nan 21-12, 17-21, 21-18 pada pusingan pertama semalam.

Dia berjaya menewaskan pemain kelahiran China itu yang pernah mencatat kemenangan ke atas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei sebanyak dua kali.

kosmo