Pemain Tidak Terima Bayaran, Vida Sifatkan Ibarat Retak Menanti Belah

KUALA LUMPUR 28 April – Pengasas Vida Beauty, Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman menggambarkan, hubungannya dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa ibarat retak menanti belah, namun beliau tiada jalan keluar dan perlu meneruskan komitmen penajaan terhadap skuad The Red Warriors.

Dr. Hasmiza turut mengakui, kurang percaya dengan ketelusan pengurusan Kafa dalam menguruskan kewangan adalah sebab utama beliau terpaksa mengawal sendiri wang tajaan, malah menegaskan, tindakannya itu telah menjamin pemain-pemain Kelantan menerima gaji sehingga Oktober ini.

“Sebenarnya saya sudah tidak ambil peduli dengannya (Annuar) sebab dia cakap dengan saya dia mahu beritahu kepada masyarakat pasal jumlah tajaan saya. Saya cakap silakanlah. Saya tidak ada masalah. Saya tidak takut dan sebab itulah saya cakap dari dulu mengapa saya mengenakan syarat.

“Sebenarnya, apabila saya letak syarat saya ada perjuangan dan saya ada penegasan mengapa saya perlu buat sedemikian. Seandainya duit diberikan semua apa akan jadi kepada pemain di masa akan datang sebab mungkin dalam tekanan bayar hutang mereka (Kafa) guna duit itu.

“Saya tidak mahu. Saya nak duit saya dibayar untuk gaji pemain. Jadi pemain tidak perlu risau sebab saya dah peruntukkan duit gaji sampai Oktober.

“Cuma saya tak bagi mereka (Kafa) duit. Saya pegang duit itu. Bukan saya tidak yakin cuma kurang percaya dengan mereka,” kata Hasmiza atau dikenali sebagai Dr. Vida kepada Utusan Malaysia, di sini, hari ini.


Dr. Vida turut mengakui, prestasi Kelantan yang tidak dan semua masalah yang menyelubungi dirinya dan Kafa ketika ini sedikit sebanyak membuatkannya merasa bosan.

“Cuma saya macam tiada jalan keluar sekarang. Tengoklah saya kena kutuk macam-macam kalau keluar (berhenti penajaan) namun saya tidaklah mahu keluar penajaan sebab saya kena bantu Kelantan.

“Tapi kena ikut cara sayalah. Jangan sampai saya fikir, susahnya nak uruskan pasukan yang macam dah besar kepala, saya nak buat pasukan sendiri pun boleh,” katanya lagi, yang bagaimanapun menegaskan beliau tidak serik untuk melibatkan diri dalam bola sepak.

Sementara itu Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) me­ngakui, belum me­ngotakan janji terhadap pemain import yang beraksi bersama pasukan Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) sehingga menyebabkan mereka hilang nafsu untuk beraksi.

Setiausaha Agung, Datuk Ismail Md. Nor bagaimanapun menjelaskan, hanya seorang pemain import yang terlibat dalam masalah tersebut.

Beliau berkata, janji itu ialah melibatkan bayaran yuran perpindahan yang belum dilunaskan kepada pemain terbabit, manakala tiga pemain import lain telah mendapat semua hak mereka seperti yang tertakluk dalam kontrak.

“Kafa akan cuba lunaskan bayaran itu dalam masa terdekat. Untuk makluman bayaran gaji dan semua kelengkapan lain seperti rumah dan kereta kita buat sebagaimana yang dijanjikan.

“Kafa sentiasa peka dan cuba memenuhi apa yang telah dijanjikan kerana itu sudah menjadi tanggungjawab dan perlu dilaksanakan.

“Kita berharap isu ini tidak timbul lagi dan semua pemain harus menumpukan sepenuhnya tugas mereka untuk memberi persembahan terbaik, kita akan cuba selesaikan masalah yang berbangkit,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengulas mengenai dakwaan pemain import hilang nafsu gara-gara Kafa gagal menunaikan janji yang dibuat sebelum ini.

Pemain-pemain import itu dikatakan hilang motivasi untuk bermain kerana mendakwa Kafa tidak menunaikan janji yang dibuat sebelum ini sehingga menyebabkan prestasi mereka merudum termasuk ketika membuat latihan.

Musim ini, Kelantan dibarisi empat pemain asing iaitu Jonathan McKain dari Australia, Jonatan Lucca (Brazil), Blazhe Ilijoski (Ma­cedonia) dan Dramane Traore (Mali) serta seorang pemain naturalisasi dari Australia, Brendan Gan.

Dalam perkembangan lain, Ismail memberitahu, Kafa tidak akan memutuskan hubungan dengan penaja utama PQPTRW, Vida Beauty.

Katanya, ketika ini kontrak Kafa dengan Vida Beauty masih sah mengikut peraturan yang sedia ada.
“Kafa akan terus menghormati kontrak yang telah ditandatangi antara kita dengan Vida Beauty.

“Kita akan adakan pertemuan dengan pemilik Vida Beauty, Datuk Seri Dr. Hasmiza Othaman dalam masa terdekat,” ujarnya.

Utusan