Neymar, Bintang Yang Terima Gaji Paling Rendah

596047-neymar-barcelonaLONDON 12 April – Laman web Football Leaks semalam mengejutkan peminat bola sepak Sepanyol apabila mendedahkan gaji bintang penyerang Barcelona, Neymar jauh lebih rendah berbanding kebanyakan pemain ternama, termasuk dua rakan sepasukannya, Lionel Messi dan Luis Suarez.

Malah, laman web ber­kenaan turut mendedahkan dokumen asal kontrak Neymar, yang menunjukkan pemain itu hanya menerima gaji mingguan 77,000 pound (RM427,000), jumlah yang dianggap sederhana untuk pemain bertaraf dunia sepertinya.

Dokumen 13 muka surat itu juga jelas menunjukkan, mana-mana pasukan yang mahu mendapatkan khidmat pemain berusia 24 tahun tersebut perlu membayar 152 juta pound (RM842 juta) untuk melepaskannya daripada kontrak.

Gaji yang diterima oleh Neymar, yang menduduki tempat kedua dalam anugerah Pemain Terbaik Dunia (Ballon d’Or) 2015 serta dua kali dinobat selaku Pemain Paling Bernilai oleh SportsPro jauh lebih rendah daripada Messi, yang menerima 250,000 pound (RM1.4 juta) dan Suarez 200,000 pound (RM1.1 juta) seminggu.


Bintang penyerang Real Madrid, Cristiano Ronaldo pula menerima 288,000 pound (RM1.6 juta) seminggu selepas cukai, manakala penyerang Manchester United, Wayne Rooney yang mengharungi musim tidak menentu menikmati 250,000 pound se­minggu.

Walaupun gaji pokok yang di­terima Neymar lebih rendah berban­ding pemain terbaik dunia yang lain, namun kontrak yang ditandatangani oleh penyerang Brazil itu dikatakan membolehkan dia menerima 6.8 juta pound (RM38 juta) iaitu sebahagian daripada yuran perpindahannya dari Santos ke Barcelona pada 2013, selain bonus serta insentif tambahan.

Apabila dicampurkan kesemua­nya, Neymar boleh menikmati sehingga 39.7 juta pound (RM220 juta).

Kontrak itu juga menyatakan, Barcelona berjanji akan merapatkan jurang gaji di antara Neymar dan pemain utama lain sekiranya dia berjaya mempamer persembahan yang cemerlang.

Dalam klausa tersebut juga ada menyatakan, Neymar akan me­nerima 875,000 pound (RM4.8 juta) sekiranya dia beraksi dalam 60 peratus perlawanan bersama Barcelona sepanjang musim ini.

Sebanyak 514,000 (RM2.84 juta) lagi akan diterima setiap kali Barcelona berjaya melayakkan diri ke Liga Juara-Juara, manakala habuan 343,000 (RM1.9 juta) menanti seandainya kelab Catalan itu melepasi peringkat kumpulan dalam kejohanan kelab elit Eropah tersebut. – AGENSI