Kim Swee cabar pemain buktikan Khairy salah

ong kim sweeKUALA LUMPUR: Pengendali skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee menggesa pemain tempatan di negara ini untuk mengambil sikap positif cabaran daripada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Khairy dalam satu kenyataan kepada media kelmarin berkata skuad bola sepak kebangsaan mempunyai `bahan mentah’ yang terhad dan sukar untuk dibentuk menjadi pasukan hebat ke peringkat lebih tinggi.

“Apa yang beliau cakap daripada segi realiti, memang realiti ini saja produk yang kita ada,” katanya merujuk kepada laporan BH Sukan semalam. “Dia mengatakan kita tidak boleh sampai ke tahap yang lebih tinggi, tetapi tidak bermakna kita tidak boleh memperbaikinya. Kita boleh.

“Yang penting pemain dan mereka yang terbabit kena ambil positif dan berusaha untuk tingkatkan prestasi dan ranking. Jika kita dikatakan hanya mampu bermain di peringkat ini, kita perlu buktikan yang kita mampu pergi lebih jauh lagi.”

Khairy dalam kenyataannya yang disiarkan akhbar ini berkata, Kim Swee berdepan situasi sukar selepas ranking pasukan negara turun ke tahap terburuk dalam sejarah – ke-174 dunia pada Khamis lalu selain sekadar mempunyai pasukan dilengkapi ‘bahan mentah yang terhad’. ”

Kamu mempunyai ikan kembung, mana boleh nak masak ikan patin tempoyak,” katanya seperti dilaporkan selepas menghadiri siri pertama Kriterium Berbasikal Remaja Malaysia (JCM) di MAEPS, kelmarin.


Program baiki rangking

“Lainlah kalau dia ada ikan patin (bahan mentahnya) tetapi apa yang dia ada ikan kembung saja. Jadi kena tengok apakah bahan mentahnya, kalau bahan mentahnya macam itu, diminta buat ‘cuisine’ seperti master chef, mana boleh.”

Mengulas lanjut, Kim Swee turut yakin, ranking negara mampu diperbaiki sekiranya skuad kebangsaan mampu mendapatkan keputusan positif dalam semua perlawanan tahun ini. “Ranking dikira berdasarkan prestasi setahun dan dua tahun lalu,” kata Kim Swee.

“Kita jatuh mendadak bukan kerana keputusan dua perlawanan sebelum ini. “Saya sudah rangka program untuk mengutip mata ranking, tetapi tidak bermakna jika kita mendapat keputusan positif ranking akan naik serta merta. “Selepas playoff dengan Timor Leste kita ada siri perlawanan persahabatan dengan negara-negara Oceania dan ini peluang terbaik untuk memperbaiki ranking yang mungkin hanya akan menunjukkan peningkatan selepas beberapa bulan.

“Dengan Timor Leste kita wajib menang kerana ia menentukan hala tuju pasukan kebangsaan.” Selain meletakkan pasukan berada di tangga ke-140 dunia, dua lagi KPI yang harus Kim Swee capai ialah melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia 2019 dan menjuarai Piala AFF 2016.