Khyril Muhymeen Kembali Dengan Bergaya

LATIHAN SKUAD NEGARABekas penyerang Kedah dan Malaysia itu kembali beraksi setelah lama tercedera, dan membawa impak serta-merta bagi kelabnya AirAsia dalam Piala FAM.

Bekas penyerang Kedah dan Malaysia, Khyril Muhymeen Zambri dilaporkan telah kembali beraksi selepas lama cedera, dengan mencatatkan dua jaringan dalam kemenangan pasukannya AirAsia, ketika aksi dalam Piala FAM pada hari Rabu.

Pemain berusia 28 tahun itu dilaporkan tampil sebagai pemain gantian dalam separuh masa pertama perlawanan menentang Persatuan Bolasepak Ipoh, dan membawa impak serta-merta, membantu jaringan pertama dan kemudiannya menjaringkan dua gol dalam tempoh 10 minit. Perlawanan itu dimenangi oleh Air Asia dengan keputusan 3-0.

Laman Facebook pasukan itu memetik beliau mengucapkan terima kasih, selepas persembahan memberangsangkan itu.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak pengurusan, jurulatih, rakan sepasukan dan penyokong AAFC kerana memberi kepercayaan dan sokongan kepada saya. Gol tadi juga dihadiahkan kepada semua penyokong saya,” ujar Khyril.

Penampilan semula Khyril dinanti-nantikan peminat, selepas tercedera hampir setahun semasa penampilannya bersama Negeri Sembilan dalam musim 2015. Sebelum musim 2016 bermula, beliau dilaporkan hampir menyertai Selangor, tetapi kecederaan beliau yang masih belum pulih menyebabkan ia tidak berlaku.

Pasukan Jet Merah yang dimiliki taikun syarikat penerbangan AirAsia, Tony Fernandez itu kemudiannya mendapatkan tandatangan Khyril sebelum saingan divisyen tiga musim ini bermula, sabar menanti kembalinya beliau dari kecederaan.

Pastinya perkembangan ini menambah keyakinan AirAsia, yang kini berada di tangga keempat kumpulan A Piala FAM, kerana mereka telah mensasarkan kelayakkan ke Liga Premier bagi tahun 2017.