Kasihan Kim Swee, Tidak Terkejut Ranking Malaysia Jatuh – Khairy

Khairy-FAM-300x202SERDANG – Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin tidak terkejut dengan ranking bola sepak negara yang menjunam ke kedudukan terburuk ke-174, sebaliknya bersimpati dengan pe­ngendali Harimau Selatan, Ong Kim Swee itu.

Menurut Khairy, tindakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mele­takkan sasaran kelompok 140 dunia sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) yang perlu dicapai jurulatih itu terlalu berat dan sukar.

Katanya, peminat tidak boleh meletakkan kesalahan Kim Swee semata-mata kerana beliau telah menunjukkan potensi sebenar berdasarkan ‘bahan mentah’ yang sedia ada.

“Kasihan dengan bahan mentah yang ada hari ini.

“(Sebagai contoh) anda mempunyai ikan kembung, tatapi nak suruh masak ikan patin masak tempoyak.

“Lainlah kalau bahan mentah tersebut adalah ikan patin. Tapi apa yang dia (Kim Swee) ada ikan kembung sahaja.


“Anda kena tengok bahan mentah dahulu. kalau bahan mentahnya macam itu, diminta buat ‘cuisine’ seperti master chef, mana boleh?” kata Khairy selepas menghadiri siri pertama kriterium Berbasikal Remaja Malaysia (JCM) di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini semalam.

Khairy berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kejatuhan ranking Harimau Malaysia daripada kedudukan ke-166 bulan lepas, turun lapan anak tangga ke-174 pada Khamis lalu.

Sebelum ini, pencapaian terburuk Harimau Malaysia adalah kedudukan ke-171 dunia yang dicatat pada Januari dan Februari lalu, sebelum naik kepada 166 pada Mac lepas.

Kejatuhan mendadak ranking kebangsaan itu ekoran kekalahan 0-2 kepada Arab Saudi dalam kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 24 Mac lalu, selain terikat 0-0 dengan skuad separuh profesional Macau dalam aksi persahabatan di Stadium Hang Jebat, Melaka minggu lalu.

Ranking yang dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) juga menyaksikan Malaysia berada di kedudukan keenam Asia Tenggara di belakang Filipina (116), Thailand (119), Vietnam (144), Singapura (148) dan Myanmar.

Ranking terbaik yang pernah dicapai skuad Harimau Malaysia ialah di kedudukan ke-75 pada 1993.

Ketika diminta mengulas pertemuan Malaysia menentang Timor Leste dalam playoff Kelayakan ­Piala Asia 2019 pada 2 dan 7 Jun ini, Khairy berkata, skuad kebangsaan wajib menang perlawanan itu.

“Mereka kena menang. Kalau tak menang, mungkin ada yang tak kena.

“Cuma kalau nak suruh dia (Kim Swee) capai pencapaian 100 peratus itu, maaflah,” katanya.