Akui Cetuskan Pergaduhan Dengan Hafiz Kamal, FAS Rehatkan Mauro Olivi

KUALA LUMPUR: Kapten Selangor, Shahrom Abdul Kalam menyifatkan ketiadaan Mauro Olivi bukan masalah besar buat skuad The Red Giants pada aksi Piala AFC berdepan Sheikh Jamal Dhc di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam esok.

Keputusan itu diputuskan FAS susulan tindakan Mauro yang dilaporkan bergaduh dengan rakan sepasukan, Mohd Hafiz Kamal di bilik persalinan pemain setelah Selangor tewas 1-3 kepada Felda United pada aksi Liga Super di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang, Jumaat lepas.

“Soal kes Olivi biarlah pengurusan yang buat keputusan, kami sebagai pemain perlu terus pandang ke depan terutama bertemu Sheikh Jamal esok. “Apa yang lebih penting ketika ini adalah kami perlu bermain sebagai satu pasukan dan bukannya bergantung kepada individu. Pasukan Selangor lebih penting dari individu dan kami perlu berjuang habis-habisan,” katanya pada sidang media.


Pengurus skuad Liga Super Selangor, Amirudin Shari dalam kenyataan memaklumkan nasib Mauro juga akan ditentukan oleh Jawatankuasa Disiplin FAS yang dianggotai panel bebas dimana mereka akan bersidang dalam tempoh terdekat.

“FAS juga menunggu laporan bertulis dari saksi iaitu pemain-pemain dan pegawai yang menyaksikan insiden tersebut sebagai bukti kepada Jawatankuasa Disiplin.Ini bagi memberikan hukuman yang adil kepada individu yang bersalah.

“Justeru, saya meminta semua pihak bertenang dan memberikan ruang secukupnya untuk pengurusan mengambil tindakan susulan,” kata Amirudin yang juga Pengerusi Exco Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda dan Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan Selangor.

Beliau menjelaskan walaupun Mauro telah mengaku bertanggungjawab memulakan pergaduhan berkenaan, tindakan disiplin akan tetap diteruskan ke atas pemain berkenaan bagi mengekalkan keharmonian dalam skuad Gergasi Merah.

Pada perlawanan pertama peringkat Kumpulan E dengan kelab Bangladesh terbabit pada 15 Mac lalu, skuad Zainal Abidin meraih kemenangan 4-3. Selangor kini berada di kedudukan ketiga kumpulan selepas mengumpul empat mata hasil satu kemenangan, satu seri dan satu kekalahan.