Ada Hikmah Di Sebalik ‘Perang mulut’ Dengan Mario Gomez – Kim Swee

KUALA LUMPUR – Jurulatih kebangsaan Datuk Ong Kim Swee percaya ‘perang mulut’ antaranya dengan jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Mario Gomez beberapa hari lalu mempu­nyai hikmah tertentu yang akhirnya bakal menuju ke arah komunikasi yang lebih terperinci.

Katanya, masing-masing mempu­nyai perancangan tersendiri untuk pa­sukan masing-masing namun perselisihan pendapat sejak Sabtu lalu diharap mampu memantapkan hubungan sesama mereka pada masa depan.

“Kemungkinan apa yang berlaku ada hikmahnya. Kita tidak tahu apa berlaku pada masa hadapan, yang penting selepas perjumpaan ini, saya dan jurulatih JDT mempunyai perancangan masing-masing dan kami telah berbincang di sini (supaya) akan ada lagi komunikasi yang lebih terperinci.


“Ini (tetap) menunjukkan satu (hasrat) kerjasama yang penting, bukan untuk FAM (Persatuan Bola­sepak Malaysia) dan JDT tetapi pasukan negara dan saya harap kerjasama ini akan berlarutan hingga bila-bila,” katanya selepas majlis undian rasmi kelayakan play-off Piala Asia 2019 di Rumah AFC, Bukit Jalil, semalam.

Kim Swee mengulas mengenai pertemuannya dengan Gomez dan Penasihat Diraja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim di Johor Bahru kelmarin.

Sabtu lalu, Gomez menyalahkan prestasi longlai tujuh pemain JDT ketika mereka menewaskan PDRM 5-2 dalam suku akhir Piala FA, kerana mereka baru pulang daripada tugasan skuad negara yang menentang Arab Saudi dan Macau, malah menuding jari kepada barisan kejurulatihan Harimau Malaysia.

Kim Swee pula menyifatkan kenyataan warga Argentina itu sebagai tidak wajar dikeluarkan oleh seorang jurulatih terhadap mereka yang sejawatan dengannya.