VIDEO PENYOKONG MELAKA UNITED, NEGERI SEMBILAN BERGADUH

MELAKA: Perlawanan Liga Perdana antara Melaka United dan Negeri Sembilan yang berkeputusan seri 0-0 di Stadium Hang Jebat, Krubong di sini malam Selasa dicemari insiden pergaduhan antara penyokong kedua-dua pasukan.

“Jika tiada angin, masakan pokok bergoyang,” itulah ungkapan yang dapat digambarkan apabila provokasi melampau menjadi punca utama pergaduhan berlaku ketika aksi perlawanan memasuki minit ke-70 perlawanan.

Kekecohan mula tercetus selepas berlaku pergelutan dan tolak menolak di kalangan segelintir penyokong dan objek-objek turut kelihatan dilontarkan kearah kumpulan yang sedang bertelagah.

Sebagai langkah keselamatan, pihak polis terpaksa mengumpulkan lebih 200 penyokong Negeri Sembilan di tepi padang untuk meredakan keadaan.


bola gaduhKetegangan bermula pada separuh masa kedua akibat penyokong mengejek antara satu sama lain sebelum berlaku balingan objek antara penyokong tersebut.

Ketegangan itu menyebabkan kira-kira 100 penyokong Melaka United enggan bersurai selepas tamat perlawanan dan tidak membenarkan penyokong Negeri Sembilan keluar meninggalkan stadium.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata penyokong Melaka United mula bersurai 12.15 tengah malam tadi selepas rundingan kira-kira 45 minit dilakukan pihak polis dengan mereka.

“Semua penyokong bersurai dengan aman dan tiada kecederaan dilaporkan,” katanya kepada pemberita.

Seramai kira-kira 15,000 penyokong Melaka United dan kira-kira 2,000 penyokong Negeri Sembilan menyaksikan perlawanan dilabel #NaningDerby oleh pengguna media sosial.