PFAM tidak perlu terlalu ghairah, Kafa tahu tanggungjawab – Datuk Ismail

LAPORAn Utusan Malaysia, semalamLAPORAN Utusan Malaysia, semalam

KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) menafikan dakwaan mereka membisu dalam isu tunggakan gaji melibatkan lima bekas pemain The Red Warriors musim lalu.

Setiausaha Kafa, Datuk Ismail Md. Noor menegaskan, pihaknya sedang berhubung de­ngan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menyelesaikan masalah tersebut.

“Kafa sudah merujuk perkara ini kepada FAM dan jadual pembayaran gaji kelima-lima bekas pemain itu sudah pun diaturkan.

“Insya-Allah, kita akan lunaskan tunggakan gaji itu secepat mungkin dan saya harap pemain berkenaan dapat bersabar,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFAM) yang mendakwa Kafa masih membisu dalam isu tunggakan gaji ini.

Utusan Malaysia semalam mela­porkan, usaha PFAM untuk membantu pemain yang terperangkap dalam isu tunggakan gaji telah dibuat, namun sehingga hari ini mereka tidak menerima respons daripada Kafa.


Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail berkata, pihaknya hanya mampu menunggu rundi­ngan yang mungkin diadakan de­ngan pihak Football Malaysia Limited Lia­bility Partnership (FMLLP) bagi menyelesaikan masalah melibatkan lima bekas pemain Kelantan.

Lima pemain terbabit ialah Amar Rohidan, Ahmad Fakri Saarani, Muhammad Nazri Ahmad, Amiridz­wan Taj Tajuddin serta Mohd. Fitri Omar, dan ia melibatkan tunggakan keseluruhan bernilai RM477,000.

Dalam pada itu, Ismail turut menempelak tindakan PFAM yang diibaratkan seperti ‘lebih sudu pada kuah’ dalam isu ini.

Katanya, PFAM tidak perlu terlalu ghairah dalam isu tersebut dan Kafa tahu tanggungjawabnya sebagai bekas majikan.

FMLLP sebelum ini turut me­ngakui, setakat ini hanya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menunjukkan kesungguhan untuk menyelesaikan hutang bernilai RM3.7 juta melibatkan 15 bekas pemain mereka, manakala Felda United sudah mengemukakan permohonan untuk merunding dalam isu pampasan Mohd. Azrul Ahmad bernilai RM220,000.

Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam memberitahu, pihaknya akan cuba mengadakan pertemuan dengan Kafa minggu ini untuk mendapatkan penjelasan berhubung isu tunggakan gaji.