Pergaduhan penyokong cemari Old Trafford

MANCHESTER – Penyokong Manchester United dan Liverpool bergaduh di Old Trafford ketika perlawanan Liga Europa di antara kedua-dua pasukan menuju ke penghujung permainan.

Dalam perlawanan kedua, pusingan 16 terbaik itu, Liverpool mengikat United 1-1, sekali gus layak ke suku akhir menerusi agregat 3-1.

Bagaimanapun, kejayaan skuad bimbingan Jurgen Klopp dicemari dengan insiden memalukan ketika wisel penamat hampir dibunyikan.

Sekumpulan penyokong terbabit dalam pergaduhan di bahagian atas tempat duduk di East Stand, di mana kerusi kelihatan melayang dan memaksa campur tangan polis serta pihak steward stadium.

Kejadian didakwa tercetus kerana penyokong Red Devils mengejek tragedi Hillsborough dalam aksi timbal balik pertama di Anfield, dan difahamkan mereka mengulangi perbuatan itu semalam apabila menyanyi beramai-ramai dengan niat menyakitkan hati penyokong pasukan pelawat.

Sebelum perlawanan bermula, turut berlaku insiden memalukan apabila laluan dari Liverpool menuju ke Manchester telah dipasangkan kain rentang yang tertera perkataan ‘pembunuh’ oleh penyokong tidak bertanggungjawab.


Pihak polis dan steward terpaksa meleraikan keadaan selepas sekumpulan penyokong Liverpool berjaya menyelinap masuk ke tempat duduk bahagian atas yang dipenuhi penyokong tuan rumah dengan membawa kain rentang.

Wartawan Liverpool Echo, James Pearce yang berada di tempat kejadian berkata: “Hampir setengah dozen penyokong Liverpool duduk di tempat United dengan membawa kain rentang LFC, sambil dikelilingi penyokong United yang marah.

“Kejadian tumbuk menumbuk berlaku, sebelum polis dan steward masuk campur untuk meleraikan keadaan.”

Ketika pergaduhan berlaku, sekumpulan penyokong Liverpool yang berada di tempat duduk bawah menyanyikan lagu ‘Munich’, yang merujuk kepada tragedi nahas kapal terbang yang menimpa pasukan United pada 1958.

Menurut akhbar Britain, sekurang-kurangnya lima penyokong ditahan oleh polis Greater Manchester berhubung insiden tersebut. – AGENSI

The Reds tendang Red Devil keluar dari Liga Eropah. FT Manchester United 1-1 Liverpool

Posted by bazookapenaka.my on Thursday, March 17, 2016