Pemilik Frenz United Mahu FAM Hormati Hak Kelab

Pemilik Frenz United, Rashid Maidin menggesa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) supaya berlaku adil dan menuntut hak akademi bola sepak dihormati.

Frenz United ternyata kecewa dengan keputusan Jawatankuasa status FAM membabitkan dua pemain, R Kogileswaran dan R Dinesh yang menandatangani kontrak bersama pasukan Liga Super, Pahang FC pada awal musim 2016.

Tetapi dalam pada masa yang sama Kogi dan Dinesh masih mempunyai kontrak biasiswa bersama Frenz Global Ventures.

Namun Jawatankuasa Status FAM pada Selasa mengenakan Sekatan Kesukanan ke atas dua pemain terbabit sehingga jendela perpindahan Kedua Liga Malaysia pada Jun nanti dan mereka bebas untuk mnyertai mana-mana pasukan selepas itu.

Menurut Rashid, Frenz tidak diberi peluang untuk memasukkan afidavit balasan bagi menjawap afidavit-afidavit Pahang FC kerana Jawatankuasa Status FAM ingin membuat keputusan dengan segera setelah mereka diminta menghadiri mesyuarat di FAM pada Isnin lalu.

Tegasnya lagi, Frenz juga telah membuat pelaburan yang besar dari segi masa, tenaga dan wang ringgit.

Tidak seperti sekolah sukan dan akademi-akademi separuh masa yang lain, Frenz tidak bergantung kepada wang pembayar cukai mahupun sebarang dana kerajaan untuk membangunkan lagi sukan bola sepak dan ini membolehkan Frenz dengan bangganya mempunyai hak terhadap pemain-pemain sebagaimana yang termaktub di dalam AFC (Asian Football Confederation) berkaitan perlesenan kelab, sebuah syarikat seperti Frenz Global Ventures Sdn Bhd.


Justeru Frenz menganggap Keputusan yang dibuat oleh FAM di dalam kes ini adalah amat tidak adil bagi mana-mana akademi bola sepak yang seumpamanya.

Pemain boleh memungkiri perjanjian dan kontrak yang dibuat sewenang-wenangnya dan akademi bola sepak yang harus menanggung segala kerugian dalam pelaburan pembangunan sukan bolasepak negara ini.

Syarikat dan kelab mana yang sanggup untuk meletakkan pelaburan yang tinggi dalam menyediakan akademi bola sepak di negara ini sedangkan badan induk bola sepak negara ini sendiri tidak melindungi kepentingan mereka?

Pemain-pemain muda ini dididik untuk memungkiri perjanjian dan komitmen mereka.

Kelab-kelab bola sepak yang tidak melabur bagi membangunkan pemain-pemain muda dengan mudah dibenarkan untuk mengumpan dan seterusnya merampas pemain-pemain ini tanpa sebarang hukuman setimpal.