Pahang nilai empat calon jurulatih baharu

KUANTAN – Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) sedang menilai empat nama jurulatih dari dalam dan luar negara untuk menjadi pengganti kepada Ahmad Shaharuddin Rosdi yang menghantar surat perletakan jawatan bersama-sama penolongnya Azaruddin Aziz pada 7 Mac lalu.

Naib Presiden PBNP, Datuk Seri Zamri Ramly berkata, pihaknya dalam mesyuarat Exco PBNP semalam memutuskan untuk me­nerima perletakan jawatan tersebut berkuatkuasa 14 Mac ini dan perlawanan Liga Super Pahang menentang Felda di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka Sabtu ini akan menjadi perlawanan terakhir yang dikendalikan Shaharuddin.

Jelasnya, alasan yang diberikan Shaharuddin dan Azaruddin adalah hampir sama seperti yang diberikan bekas Ke­tua Pegawai Eksekutif Pahang FC, Fahrizal Hasan yang meletakkan jawatan baru-baru ini iaitu gagal mengendalikan pasukan dan bukan disebabkan faktor-faktor lain seperti masalah peribadi mahupun soal pembayaran gaji.

“Apabila mereka sendiri minta meletak jawatan dan tak boleh lagi mengendalikan pasukan, kami buat keputusan bersama untuk menerima permohonan tersebut dan kami mengucapkan terima kasih atas khidmat mereka selama ini.

“Pihak pengurusan sedang meneliti tiga atau empat orang jurulatih dari dalam dan luar negara untuk menggantikan Shaharuddin, ada antara mereka menawarkan diri dan ada yang PBNP sendiri tawarkan.

“Bagaimanapun, nama jurulatih baharu hanya akan diumumkan selepas 14 Mac ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco PBNP, di sini semalam.

Hadir sama ialah dua lagi Naib Presiden PBNP, Datuk Jalaluddin Mohamed Deli dan Datuk Akbar V.V. Abu serta Setiausaha Agung PBNP Fuzzemi Ibrahim.

Menurut Zamri, mesyuarat tersebut turut memutuskan bahawa pengurusan skuad oleh Pahang FC akan diteruskan hingga tamat musim 2016, tetapi bermula tahun hadapan pengurusan pasukan akan dikembalikan semula kepada PBNP.


“Penggunaan logo dan lambang Pahang FC akan diteruskan musim ini ke­rana telah didaftarkan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), bagaimanapun bermula musim hadapan, akan digantikan semula dengan logo PBNP.

“Pengurusan Pahang FC sekarang bagaimanapun akan dipantau secara langsung oleh PBNP manakala pengendalian gerak kerja dan urusan harian Pahang FC akan turut diletakkan di bawah PBNP,” katanya sambil menjelaskan tanggungjawab sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Pahang FC akan ditanggung kesemua sembilan ahli exco PBNP dan tiada sebarang cadangan untuk melantik muka baharu bagi menyandang jawatan tersebut dalam tempoh masa terdekat.

Selain itu, Zamri turut menjelaskan bahawa sasaran yang diletakkan untuk skuad Tok Gajah musim ini adalah kekal dalam Liga Super musim depan, namun beliau menegaskan bahawa pasukan Pahang akan menjadi bertambah matang dan mampu memulakan misi memburu trofi pada musim 2017.

“Kami cuba pertahankan untuk kekal dalam Liga Super, kami tak sasarkan piala dan peminat pun saya harap boleh terima apabila kami buat penjelasan, Pahang kekal komited membangunkan pemain-pemain muda sebagaimana pemain sebelum ini seperti Azammuddin Mohd. Akil, Hafiz Kamal dan R. Gopinathan yang kini dinilai (berharga) puluhan ribu ringgit.

“Kami memerlukan sedikit masa untuk mematangkan budak-budak baharu, kalau kita tengok pemain lepas macam Azamuddin, Gopinathan pada awalnya kena boo juga setiap kali mereka memegang bola di padang, penyokong-penyokong kita pun tak berapa minat mereka.

“Namun tahun demi tahun akhirnya mereka telah menunjukkan mutu bola sepak yang tinggi, jadi semua peminat diharap dapat bersabar,” katanya.