Liverpool Yakin Dapatkan Gotze Pada Harga Diskaun

LONDON – Liverpool yakin mereka dapat membeli penjaring gol kemenangan Jerman dalam Piala Dunia, Mario Gotze dengan harga diskaun 20 juta pound (RM114 juta).

Bintang tengah Bayern Munich itu secara terbuka menyuarakan hasrat untuk bergabung semula dengan pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, yang pernah menjadi jurulatihnya ketika bersama Borussia Dortmund.

Minggu lalu, pengurus Jerman, Joachim Low menasihatkan pemain berusia 23 tahun itu agar berbincang dulu dengan bakal pengendali Bayern, Carlo Ancelotti sebelum membuat keputusan untuk meninggalkan Munich.

Bayern sebelum ini meletakkan nilai Gotze sekitar 30 juta pound (RM171 juta), namun faktor bahawa kontraknya hanya tinggal setahun memberi keyakinan kepada Reds untuk membeli pemain paling berbakat di Eropah itu dengan harga yang lebih rendah.

Gotze menjadi sasaran No. 1 Klopp pada musim panas ini, selain tiga pemain pertahanan Jonas Hector (Cologne), Ben Chilwell (Leicester City) dan Raphael Guerreiro dari kelab Perancis, Lorient.

Mereka juga masih dalam rundingan untuk membawa masuk pemain tengah Udinese, Piotr Zielinski yang kini dipinjamkan kepada Empoli.

Gotze, yang menjaringkan gol kemenangan pada masa tambahan ketika Jerman menumpasksan Argentina 1-0 dalam final Piala Dunia 2014, hanya membuat 12 penampilan bersama Bayern musim ini.


Jika dia memilih untuk bergabung dengan Klopp di Anfield, ia pasti akan menguatkan pilihan serangan Liverpool dan mengujakan peminat Reds untuk melihat kombinasinya bersama Daniel Sturridge, Roberto Firmino serta Philippe Coutinho.

Gotze mengharungi musim cemerlang ketika Dortmund dibim­bing oleh Klopp dan memainkan peranan penting dalam membantu kelab itu merangkul dua kejuaraan Bundesliga.

Dia juga membantu mereka me­layakkan iri ke final Liga Juara-Juara 2013, di mana mereka tewas 1-2 kepada Bayern di Wembley. Gotze kemudian menyertai Bayern pada musim berikutnya.

Gotze dibawa masuk sebagai pemain gantian, 10 minit sebelum perlawanan tamat ketika Jerman tewas 2-3 kepada England dalam aksi persahabatan antarabangsa di Berlin, minggu lalu. – AGENSI