Kim Swee puas hati prestasi Skuad harimau Malaysia

KUALA LUMPUR 25 Mac – Ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee berpuas hati dengan prestasi Harimau Malaysia walaupun tewas 0-2 kepada gergasi Asia Barat, Arab Saudi pada aksi terakhir Kumpulan A Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Stadium King Abdullah Sports City, Jeddah, Arab Saudi, awal pagi tadi.

Jurulatih kelahiran Melaka itu berkata, beliau menghimpunkan kesemua 23 pemain sebagai satu pasukan pada Isnin, dan menambah semua pemain menjalani sesi pemulihan dalam tiga hari lepas untuk mengembalikan semula kecergasan selepas mengharungi perlawanan yang padat dalam Liga Malaysia.


“Seperti yang anda lihat, Arab Saudi menguasai permainan tetapi pemain kami mempamerkan prestasi yang baik dari segi pertahanan dan menyukarkan Arab Saudi (untuk menjaringkan gol) dan akhirnya, saya tidak boleh meminta lebih daripada mereka.

“Saya juga berharap kami dapat belajar daripada kekalahan ini terutama menentang pasukan negara Asia Barat seperti Emiriah Arab Bersatu, Palestin dan Arab Saudi,” Kim Swee berkata dalam sidang media selepas perlawanan itu. – BERNAMA