Kim Swee mungkin pilih strategi bertahan untuk elak dibolosi Arab Saudi

KUALA LUMPUR – Pengendali Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee mengakui dia mahu meng­elak skuad kendaliannya daripada menerima kekalahan besar apabila dijadualkan bertemu Arab Saudi dalam perlawanan terakhir bagi aksi Kumpulan A kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Stadium King Abdullah, Jeddah esok.

Kim Swee berkata bertemu dengan pasukan ranking ke-60 dunia itu bukan satu perkara yang mudah lantas membuatkan dirinya mahu menerapkan corak permainan bertahan sekali gus mengelak daripada menerima kekalahan besar seperti yang dialami pada tahun lalu.

Skuad Harimau Malaysia sebelum ini pernah diaibkan apabila dibelasah 10-0 ketika bertemu Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi dwi kelayakan tersebut sewaktu di bawah kendalian bekas jurulatih, Dollah Salleh.

“Kita perlu bersikap realistik kerana lawan yang bakal dihadapi bukan calang-calang pasukan jadi dengan melakukan corak permainan bertahan sememangnya ada dalam agenda pasukan. Berdasarkan rekod jumlah jaringan yang dihasilkan Arab Saudi mereka cukup cemerlang.

“Bagaimanapun pada masa sama kita perlu memikirkan untuk melakukan serangan balas terhadap kubu lawan biarpun Arab Saudi memiliki pemain berkualiti sama ada di peringkat liga mereka mahupun di Asia,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.


Dalam pada itu, Kim Swee menegaskan dia tidak berfikir untuk merehatkan tonggak pasukan dalam kalangan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) biarpun menyedari mereka mengalami keletihan kerana bermain dalam banyak perlawanan dalam jangka masa pendek.

“Saya lihat Safiq (Rahim), S. Kunalan, Aidil (Zafuan Abdul Radzak) dan pemain JDT yang lain mengalami sedikit keletihan berikutan mereka menghadapi 11 perlawanan dalam tempoh singkat.

“Bagaimanapun saya tidak fikir untuk merehatkan mereka terutamanya Safiq yang merupakan tonggak pasukan. Itu semua bergantung kepada keada­an, kalau tidak diturunkan sekalipun mereka tetap berada dalam senarai awal,” katanya lagi.

Dalam masa sama Kim Swee memberitahu hanya pertahanan Kelantan, Brendan Gan mengalami masalah sakit belakang manakala pemain selebihnya bebas daripada kecederaan.