KALAU IKUT ‘KEYBOARD WARRIORS’, SELANGOR TUKAR 12 JURULATIH SETAHUN

kalau-ikut-keyboard-warriors-selangor-tukar-12-jurulatih-setahunPengurus Selangor, Aminuddin Shaari mengakui tidak selesa dengan kritikan yang dilemparkan ke atas juara bertahan Piala Malaysia itu, namun belum masanya lagi untuk memberi tekanan ke atas Zainal Abidin Hassan.

Selepas mengharungi jadual padat sembilan perlawanan dalam tempoh 18 hari, Selangor sedang meniti prestasi tidak menentu dengan tiga aksi terakhir mereka berakhir dengan kekalahan.

Susulan itu pengendali Red Giants, Zainal Abidin mendapat kritikan hebat susulan corak permainan yang diterapkan, namun fakta membuktikan permulaan jurulatih itu lebih baik.

“Kita mencatatkan jauh lebih baik musim lepas. Lima perlawanan liga musim lepas Selangor hanya dapat lima mata, tapi kali ini 10 mata.

“Dalam saingan Piala FA, Selangor terkandas di pusingan ketiga pada musim lepas dan tahun ini.

“Piala AFC saya anggap macam Piala Malaysia yang lepas, memang kita bermula agak perlahan. kita bermula dengan kalah 3-0 kemudian seri dan seri.

“Saya anggap masih terlalu awal menilai prestasi pasukan namun saya tak selesa dengan kritik yang ada, bukan marah tapi kritikan buat kami sedar dan nilai bahagian tertentu dalam pasukan yang boleh kita perbaiki,” jelasnya.

Aminuddin berkata dia tidak boleh terbawa-bawa dengan saranan yang diberikan di laman sosial kerana ketika di era Mehmet Durakovic, mereka juga tidak terlepas daripada desakan.


“Masih terlalu awal sebab musim lepas, desakan tukar jurulatih berlangsung dari bulan 1 hingga 9, selepas layak ke suku akhir Piala Malaysia baru desakan itu hilang.

“Malah sebahagian besar yag mendesak itu minta tukar semula Mehmet Durakvic.

“Kalau ikut Twitter dan Facebook, mungkin Selangor perlu tukar 12 jurulatih setahun.”

Aminuddin turut menggesa Zainal agar segera memperbaiki kelemahan rutin yang dilakukan, kerana wujud kebimbingan berasa terlalu selesa di peringkat awal permainan yang boleh menghukum kedudukan liga, lebih-lebih lagi dengan jadual padat yang terpaksa ditempuhi.

“Selepas ini format Piala Malaysia berubah, selepas 11 perlawanan akan bermula saingan Piala Malaysia bukan sebagaimana sebelum ini.

“Jadi mungkin ada yang terperanjat tetapi sebagai pemain, jurulatih dan pasukan profesional kena mengadaptasi sebaik mungkin bagi persediaan dan permainan yang lebih baik.”

Stadiumastro