England Mahu Menang Bertemu Belanda, Hodgson Pertahan Rooney

London: Didorong kemenangan 3-2 ke atas juara dunia Jerman, England mahu memastikan kejayaan berterusan apabila bertemu Belanda, awal pagi esok dalam usaha mencari semangat sebelum beraksi pada Euro 2016.

Gol yang dihasilkan Harry Kane, Jamie Vardy serta Eric Dier menyaksikan England yang mendapat inspirasi menerusi persembahan cemerlang Dele Alli, bangkit daripada ketinggalan 0-2 sebelum mengatasi Jerman dan ketika pengurus Roy Hodgson pantas meluahkan kepentingan keputusan itu, aksi skuad mudanya juga mendapat pujian banyak pihak.

Perlawanan menentang Belanda peluang terakhir Hodgson untuk membuat eksperimen sebelum mengumumkan skuad yang akan bermain di Euro 2016, 12 Mei ini dengan Daniel Sturridge, Danny Welbeck serta Theo Walcott turut menjadi calon untuk barisan depan sambil beliau tidak melupakan Wayne Rooney dan Raheem Sterling yang cedera.

“Saya pasti beliau mahukan keputusan itu,” kata penyerang Tottenham Hotspur Kane.

“Beliau mahukan semua pemain berada pada tahap tertinggi dan bermain dengan baik. Anda pasti mahukan pemain terbaik pada Euro nanti.

Sementara itu Roy Hodgson masih menyatakan so­kongan terhadap Wayne Rooney, malah mengalu-alukan kepulangan penyerang Manchester United tersebut dalam Kejohanan Eropah (Euro), Jun ini meskipun pasukannya me­nunjukkan prestasi baik tanpa kapten mereka itu ketika me­ngalahkan Jerman 3-2, minggu lalu.

Persembahan memberangsangkan yang dipamer ‘wajah baharu’ England dalam perlawanan menentang Jerman mendorong banyak pihak, terutama penyokong menggesa Hodgson agar mengetepikan Rooney da­ripada pasukan kerana mereka percaya, aksi Three Lions lebih baik tanpa penyerang senior itu.


Rooney, 30, diketepikan daripada perlawanan tersebut akibat kecederaan, malah dia juga tidak akan beraksi apabila England menerima kunjungan Belanda dalam perlawanan persahabatan kedua menjelang Euro 2016, Jun ini di Wembley, London hari ini.

“Saya mahu ulangi, Wayne adalah ketua pasukan kami dan dia telah mengetuai pasukan ini dengan sangat baik sepanjang dua tahun lalu.

“Dia membawa kami mengharungi kempen kelayakan, di mana kami melengkapkan sai­ngan dengan cemerlang apabila menang 10 daripada 10 perlawanan.

“Jadi, saya tidak gembira apabila mendengar pelbagai cada­ngan mengenai dia. Ketika ini dia tidak beraksi kerana kecede­raan, tetapi apabila dia pulih dia akan kembali dalam pasukan.

“Dia tidak berhak untuk diketepikan,” tegas Hodgson.

Kebanyakan pemerhati, termasuk bekas kapten Piala Dunia Jerman, Lothar Matthaeus memilih bintang remaja Tottenham, Dele Alli sebagai pemain paling layak untuk memainkan peranan jersi No. 10, iaitu watak utama kepada penyerang tengah – posisi yang ketika ini menjadi milik Rooney.

Alli, 19, beraksi baik ketika menentang Jerman, malah memainkan peranannya dengan berkesan bersama Tottenham, berbanding Rooney yang berada di bawah tahap permainan sebenar bersama Manchester United musim ini akibat kecederaan.