Aksi Hambar Awal Musim Buat 4 Jurulatih ‘Kepanasan’

4-jurulatih-panas-punggungKUALA LUMPUR – prestasi hambar yang dipamer Kelantan, Pahang, Pe­rak dan Sarawak pada awal musim Liga Malaysia (Liga M) 2016 meletakkan jurulatih keempat-empat pasukan itu kini dalam ‘kepanasan’.

Pahang sewaktu di bawah bim­bingan Zainal Abidin Hassan cukup gah , namun sebaik saja skuad Tok Gajah diambil alih oleh Ahmad Shaharuddin Rosdi, situasi sebaliknya pula berlaku.

Sehingga kini juara Piala Malaysia dua kali berturut-turut itu (2013 dan 2014) masih gagal mencipta sebarang kemenangan dalam aksi Liga Super.

Mereka sekadar mencatat satu seri dan tiga kekalahan menyebabkan pasukan itu terperosok di dasar liga, sekali gus membuatkan Ahmad Shaharuddin tidak senang duduk.

Bukan itu sahaja, malah Pahang sudah tersingkir daripada saingan Piala FA selepas tewas mengejut 0-1 kepada kelab kerdil Liga Perdana, Sime Darby pada pusingan ketiga di Stadium Darul Makmur pada Sabtu lalu.

Aksi buruk Tok Gajah mendorong kepada peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Pahang FC, Fahrizal Hasan, kelmarin.

Bagaimanapun, pihak pengurusan Pahang masih lagi menaruh kepercayaan kepadanya apabila pengurus pasukan, Datuk Che Nasir Salleh memberi peluang kepada Ahmad Shaharuddin membuktikan kewibawaan untuk meraih kemenangan pertama dalam aksi liga dengan menentang Felda United di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka Sabtu ini.

Sungguhpun demikian, terdapat desas-desus mengatakan bekas penolong jurulatih Kedah, Ramon Marcote bakal menggantikan tempat Ahmad Shahabuddin.

Selain Ahmad Shahabuddin pengendali Kelantan, K. Devan turut berada dalam zon bahaya ekoran penyingkiran pasukannya dalam Piala FA, selain gagal me­nyerlah pada saingan Liga Super.


Biarpun memiliki barisan pemain ternama, malah kebanyakannya dikekalkan dari musim lalu, namun skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) belum membuktikan mereka adalah pencabar utama Liga M musim ini.

Sudah mendapat tajaan jutaan ringgit, namun entah di mana silapnya Kelantan masih lagi mempamerkan aksi kurang meyakinkan, malah banyak desakan kedengaran dalam kalangan penyokong PQPTRW yang mahu Devan meletakkan jawatan.

Tidak cukup dengan desakan tersebut, kedudukan Devan turut tergugat apabila dikhabarkan bekas pengendali Singapura, Radojko Avramovic menunjukkan minatnya untuk menyertai PQPTRW setelah membuat permohonan secara terus kepada Penasihat Kehormat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman melalui ejennya.

Dalam pada itu, jurulatih Perak, Syamsul Saad turut mengalami nasib yang serupa biarpun skuad The Bos Gaurus itu sudah melangkah ke pusingan suku akhir Piala FA .

Prestasi hambar dalam Liga Super tetap menjadi ukuran penyokong mereka.

Selepas empat aksi liga, Perak masih belum mencatat kemena­ngan sebaliknya kalah sekali dan seri tiga kali.

Apa yang menyebabkan penyokong Perak bengang adalah hanya satu jaringan sahaja yang berjaya dihasilkan oleh jentera serangan Bos Gaurus itu daripada empat perlawanan liga.

Sementara itu, berlainan pula dengan Sarawak apabila pengendalinya, Datuk K. Rajagobal menegaskan bahawa dirinya tidak berasa tertekan dengan prestasi semasa skuad bimbingannya itu, malah optimis skuad Bujang Se­nang itu mampu bangkit daripada kekalahan.

“Tidak (tertekan). Saya fikir pihak pengurusan faham dengan situasi kami kerana kami tidak mempunyai sebarang sasaran.

“Sebagai jurulatih saya pandang dari sudut positif kerana bukan kita tidak main dengan baik mungkin kita akan bangkit kelak,” katanya.

Sudah menjadi lumrah kepada setiap jurulatih untuk dipersalahkan seandainya pasukan mereka mempamer aksi hambar berikutan percaturan taktikal yang digunakan gagal menemui sentuhan, namun adalah penting kepada pihak pengurusan untuk berganding bersama dan tidak membiarkan pengendali itu keseorangan.