Mourinho ‘Tidak Tahu’ Bakal Ganti Van Gaal

jose_mourinho_chelsea_england-368347SINGAPURA – Jose Mourinho kelmarin menegaskan dia tidak tahu menahu bahawa dia bakal dilantik sebagai pengurus Manchester United yang sete­rusnya, namun mengakui adalah menjadi harapannya untuk kembali ke dalam kancah bola sepak pada musim panas ini.

Pada awal bulan ini, BBC Sport melaporkan United sudah pun mengadakan run­dingan dengan wakil jurulatih kelahiran Portugal itu dalam usaha membawanya ke Old Trafford musim depan.

Mourinho, 53, dipecat oleh Chelsea pada Disember lalu, hanya tujuh bulan selepas membawa Blues merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

Ketika ditanya, apakah dia bakal menggantikan Louis van Gaal di Old Trafford, Mourinho membalas: “Itu soalan satu juta dolar.

“Tiada siapa yang tahu dan saya orang pertama yang tidak tahu. Saya dengar macam-macam cerita berbeza. satu hari mereka melaporkan perkara itu (perpindahan ke United) benar, keesokan hari pula… mereka kata tidak.


“Kemudian saya baca laporan mengatakan saya akan ke China, satu lagi pula mengatakan saya akan ke Itali, saya ke Milan dan mereka kata saya akan kembali ke Inter.

“Hari ini saya berada di sini (Singapura), jadi mereka mungkin berkata saya akan bersama pasukan kebangsaan Singapura. Realitinya saya tiada kerja dan ketika ini saya gembira tidak mempunyai pekerjaan.”

Mourinho berkata demikian dalam temu bual bersama Sky Sports ketika berkunjung ke Singapura kelmarin.

Bekas pengendali Inter Milan, Real Madrid, Porto dan Chelsea itu menegaskan dia tidak mahu tergesa-gesa untuk menerima tawaran menjadi jurulatih, meskipun hatinya amat merindui bola sepak.

“Adalah lebih baik untuk bertenang dan menanti waktu yang sesuai. Tindakan yang tepat dan terbaik untuk saya ketika ini adalah memulakan musim depan bersama kelab baharu serta projek baharu,” katanya lagi.

Masa depan Van Gaal, 64, bersama United menjadi spekulasi sejak beberapa ming­gu lalu. Ada yang mengatakan kontraknya akan ditamatkan sebaik sahaja musim ini ber­akhir, malah ada yang mendesak dia disingkir lebih awal ekoran prestasi hambar pasukan itu ketika ini.

United kini menduduki anak tangga kelima dalam Liga Perdana Inggeris, enam mata ditinggalkan pasukan di tempat keempat Manchester City. Mereka juga sudah tersingkir daripada Liga Juara-Juara. – AGENSI