Malaysia Mungkin Jadi Tuan Rumah Piala Suzuki AFF 2016

Tindakan Filipina menarik diri sebagai tuan rumah bersama Piala Suzuki AFF 2016, kini merintis kemungkinan buat Malaysia tampil selaku tuan rumah pengganti saingan kali ini.

Selain Malaysia, Singapura dan Vietnam adalah dua lagi negara dalam senarai bersedia sekiranya salah satu tuan rumah menarik diri. Menurut Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF), Datuk Azzuddin Ahmad, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah menyuarakan minat menganjurkan saingan Piala Suzuki tahun ini.

“Daripada secara tidak rasmi, maklum balas daripada FAM, mereka masih boleh menganjurkan oleh kerana di Malaysia ini kita banyak stadium. Saya juga difahamkan FAM sudah pergi ke peringkat mendapat surat pengesahan daripada Majlis Perbandaran Shah Alam (MBSA) bagi mendapatkan peruntukan menggunakan stadium,” katanya.


Kata putus siapa akan menjadi tuan rumah bersama Myanmar akan hanya ditentukan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan AFF pada 12 Mac depan.

Dalam pada itu, Azzuddin menjelaskan Filipina menarik diri selaku tuan rumah kerana gagal memenuhi salah satu syarat yang ditetapkan AFF.

“Dia tidak dapat memberi kepada kita kontrak bersama pihak stadium mereka. Apa masalah dalaman mereka, saya tidak tahu. Kita sudah bagi lanjutan tarikh akhir sebanyak tiga kali, sehingga 19 Februari lalu mereka memutuskan untuk menarik diri,” tambahnya.

Saingan Piala Suzuki AFF 2016 tahun ini dijadual berlangsung dari 19 November hingga 17 Disember ini.