Kecewa Tewas Kepada Atletico Madrid, Ronaldo Kritik Rakan Sepasukan

RonaldoED1MADRID – Cristiano Ronaldo menempelak rakan-rakan sepasukan pada malam selepas Real Madrid dimalukan 0-1 oleh Atletico Madrid dalam perlawanan La Liga di tempat sendiri, kelmarin.

Antoine Griezmann meledak gol tunggal perlawanan untuk membolehkan Atletico menang tiga tahun berturut-turut di Santiago Bernabeu, sekali gus menyukarkan misi Los Blancos merampas kejua­raan musim ini.

Real, yang menghimpunkan skuad paling mahal di dunia dengan anggaran kos 300 juta pound (RM1.74 bilion) diejek penyokong sendiri ketika meninggalkan padang, dan memaksa Ro­naldo mengeluarkan kata-kata yang pas­ti memanaskan hati rakan-rakan sepasukan.

“Kalau semua orang bermain pada tahap saya, mungkin kami boleh mengungguli liga,” kata bintang penyerang Portugal itu.


Kekalahan tersebut meletakkan Real sembilan mata di belakang pendahulu, Barcelona, yang memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan.

“Kami memiliki lebih banyak peluang berbanding lawan, tetapi ia tidak diterjemahkan menjadi gol. Saingan liga kini semakin sukar, tetapi kami masih ada Liga Juara-Juara untuk diberi tumpuan.

“Kami beraksi tanpa Karim Benzema, Gareth Bale, Marcelo dan Pepe. Kami berdepan masalah kecederaan ramai tonggak dan ini memang menyukarkan.

“Saya tidak pasti apakah kekalahan ini disebabkan persiapan yang buruk pada awal musim.

“Saya tidak mahu bercakap buruk tentang rakan-rakan sepasukan, tetapi saya lebih suka jika dapat beraksi bersama Gareth dan Karim, selain Marcelo. Tanpa mereka, keadaan tidak sama,” ujar Ronaldo.

Sejurus tamat permainan, jurulatih Real, Zinedine Zidane me­ngakui, dia tidak gembira dengan prestasi yang ditunjukkan pemainnya, malah tidak menyangka mereka akan beraksi seburuk itu sehingga tumpas kepada Atletico.

“Kami belum bersedia untuk mengalah biarpun usaha memburu kejuaraan liga semakin sukar. Kami ada satu lagi perlawanan untuk diharungi Rabu ini (menentang Levante) dan kami akan mengambil serius pertemuan itu.

“Kami bukan berdepan masalah fizikal, masalah yang kami hadapi lebih kepada mental. Kami kekurangan dalam banyak perkara,” kata Zidane. – AGENSI