VIDEO Keunggulan Search Di Istana Budaya

Hadir menonton konsert Search Live In Istana Budaya 2014 di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur malam kelmarin mengingatkan penulis kepada konsert-konsert lama mereka lebih 25 tahun lalu.

Tidak ada sistem bu­nyi yang canggih termasuk disokong skrin LED dan sebagainya. Set pentas juga ringkas manakala sistem pencahayaan walaupun berteknologi tinggi, tetapi penggunaannya minimal sekali gus menampakkan pentas agak malap dan ‘dark’.

Ia mampu mengembalikan ingatan kepada konsert berskala besar mereka sekitar tahun 1987, 1988 dan 1989 lalu di Stadium Negara, Kuala Lumpur; Stadium Indera Mulia, Ipoh dan Tapak Pesta Pulau Pinang di Sungai Nibong.

Namun, semua itu bukan penghalang untuk peminat setia Search yang faham dengan konsep muzik dan persembahan Search. Buktinya tiket untuk persembahan malam kelmarin habis dijual.

Begitu juga untuk persembahan malam tadi dan malam ini habis dijual. Difahamkan hanya tinggal beberapa tiket saja lagi untuk persembahan malam esok.

Selain menampilkan kelainan apabila diiringi kumpulan Paladin yang terdiri daripada lima pemain cello, Search tampil ‘back to basic’ di mana Kid dan Noordin selaku tunjang muzik Search sebagai pemain gitar, Nasir di posisi bass dan pastinya Amy sebagai penyanyi.


Dalam persembahan sulung mereka di pentas berprestij itu, Search turut dibantu pemain dram Projek Pistol, Pae yang menggantikan Yazit dan pemain keyboard Firdaus.

Tepat jam 9 malam, tanpa sebarang gimik Search memulakan persembahan dengan lagu Panggung Khayalan, Balada Pemuzik Jalanan, Kejora Ku Bersatu, Laila Namamu Teratas dan Gelora Cintaku.

Namun, taring Search belum dilihat dalam lima lagu terawal ini. Belum terserlah keserasian mereka lebih-lebih lagi daripada Pae yang pastinya sukar memberikan ‘rhythm’ atau rentak Search sebagaimana yang dilakukan Yazit sejak lebih 30 tahun lalu.

Lagu Gelora Cintaku dengan ‘riff’ gitar yang lebih berat dilihat masih gagal menaikkan semangat penonton.

Namun, segala-galanya berubah apabila mereka membawakan lagu Langit Dan Bumi. Bermula dengan lagu ini, Search mula lebih bersemangat. Amy mula beraksi agresif manakala permainan gitar Kid semakin bersih dengan ‘riff’ dan solo memukau!

Seterusnya Search ‘membisingkan’ Istana Budaya dengan lagu Menuju Puncak, Honky Tong Kosong dan Pelesit Kota.

Secara keseluruhannya, Search mempersembahkan 21 lagu termasuk Kejora, Rozana, Fantasia Bulan Madu, Isi Dan Kulit, Isabella, Gadisku, Diari Habil & Qabil, Gothic Malam Edan, No Way, Fenomena, Kereta Merah dan Pawana. Apa yang pasti, peminat setia Search pulang gembira pada malam itu.

Namun, untuk mengatakan ia persembahan terbaik mereka dalam tempoh enam tahun ini, ia agak sukar.

Secara peribadi, penulis masih merasakan Konsert Search Di Awan Biru di Tapak Ekspo Seberang Jaya, Pulau Pinang pada 2009; Konsert Double Trouble 2010 (bersama Wings) dan Konsert Fenomena 30 Tahun Search di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MIECC), Mines, Kuala Lumpur pada 2011 masih yang terbaik.


Pawana

Isabella