Tengku Abdullah Risau Prestasi, Harimau Malaya Ikrar Mahu Bangkit

Skuad Dollah Salleh berangkat ke Singapura

KUALA LUMPUR – Keputusan kurang memberangsangkan dengan dua kekalahan baru dialami, 1-3 di tangan Vietnam dan 0-3 kepada Syria nyata membuat Pre­siden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Ahmad Shah gusar memikirkan nasib Harimau Malaya menjelang Piala AFF yang tinggal lima hari lagi.

Masih tidak berputus harap, beliau tetap optimis keajaiban bakal tercipta di Singapura dengan misi awal cuba melepasi peringkat kumpulan walaupun bakal menempuh laluan sukar Thailand, Singapura dan Myanmar.

Tengku Abdullah mengakui, hanya pemain dan jurulatih, Dollah Salleh boleh merubah nasib mereka tanpa mempedulikan keputusan perlawanan persahabatan yang dilalui sebelum ini.

“Secara ikhlas, saya cukup risau ketika ini dan harap mereka dapat bangkit pada Piala AFF nanti.

“Anggaplah apa yang saya kata ini seperti satu nasihat kepada semua pemain sebelum mereka berangkat ke Singapura.

“Hanya pemain dan jurulatih saja dapat menentukan kejayaan, kami di FAM tidak putus sentiasa memberi sokongan padu kepada pasukan kebangsaan, kini nasib mereka terletak di tangan sendiri.

“Memang saya harap akan ada perubahan pada Piala AFF nanti, mungkin mereka hendak ikut macam cerita Hindi…kalah dulu dan menang pada perlawanan-perlawanan pen­ting.

“Hakikatnya mereka kena menang dalam tiap perlawanan di sana nanti, ” katanya yang ditemui pada sidang akhbar Majlis Penyampaian Sumbangan Kad Debit-i Visa Bank Islam Pasukan Harimau kepada FAM, semalam.


Bagi mendalami situasi sebenar yang berlaku dalam skuad kebangsaan, Tengku Abdullah mengakui beliau akan mengadakan perjum­paan dengan anak-anak buah Dollah Salleh dalam tempoh yang disifatkan semakin kritikal, di mana sepak mula bertemu Myanmar akan dilakukan, Ahad ini.

“Memang saya ada perancangan untuk bertemu semua pemain dan jurulatih bagi meniupkan semangat mereka..insya-Allah saya akan cuba mencari masa bersesuaian berjumpa mereka, ” katanya lagi.

FAM sebelum ini menetapkan Dollah mesti mencapai ­Petunjuk Prestasi Utama (KPI) iaitu sekurang-kurangnya layak ke final Piala AFF atau kedudukannya selaku jurulatih bakal dinilai semula oleh Jawatankuasa Pengurusan Skuad Kebangsaan.

Pelantikan bekas jurulatih PDRM dan Pahang itu untuk menduduki kerusi panas berkenaan pada 28 Jun lalu dilihat terlalu lewat oleh sesetengah pihak ba­gi menghadapi Piala AFF ke­rana hanya diberi masa lima bulan untuk melakukan persiapan.

Ditambah dengan ketiadaan pe­ngalaman di peringkat antarabangsa, Dollah jelas sedikit terkapai-kapai dalam mendapatkan kombinasi serta pemilihan terbaik.

Dia beberapa kali melakukan pertukaran pemain dalam lima perlawanan persahabatan antarabangsa, selain ketika menentang Terengganu.

Namun, Tengku Abdullah me­ngingatkan agar jangan menuding jari kepada FAM dalam soal pelantikan ketua jurulatih Harimau Malaya jika skuad kali ini gagal menyerlah di Singapura kerana baginya persatuan induk bola sepak telah memberikan sokongan terbaik kepada Dollah.

“Soal prestasi pasukan kebangsaan baik atau buruk itu jangan dibebankan kepada FAM, sepatutnya bergantung kepada persembahan pasukan dan kami telah memberi sokongan sebaik mungkin.

“Adakah perlu menukar Presiden atau Timbalan Presiden tiap kali persembahan pasukan tidak mencapai yang kita mahukan…jangan salahkan FAM dalam tiap perkara,” katanya.


Sementara itu Kekalahan berterusan dialami tidak melunturkan semangat skuad negara yang bakal memulakan cabaran di Piala AFF, Ahad ini.

Ketua jurulatih negara Dollah Salleh berkata, semua pemain sudah melaungkan ikrar untuk bangkit pada kejohanan sebenar.

“Mereka semua berikrar semalam (kelmarin) selepas kekalahan kepada Vietnam (1-3). Walaupun kalah dan dicemuh, mereka semua meluahkan semangat untuk membuktikannya di Piala AFF nanti.

“Walaupun kita kalah dengan Vietnam, pengendali lawan mengatakan mereka bernasib baik tidak dibolosi empat atau lima gol pada babak pertama,” kata Dollah sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam semalam.

Jaringan tunggal skuad negara hadir menerusi Mohd Amri Yahyah pada peringkat awal perlawanan sebelum lawan bangkit meledak tiga jaringan.