Syria dapat kemenangan mudah – Jurulatih Syria

Harimau MalayaSHAH ALAM – Sudahlah tewas, Harimau Malaya diperkecilkan pula oleh Syria yang menyifatkan perlawanan kelmarin terlalu mudah buat mereka.

Jurulatih Syria, Muhannad Al Fakeer berkata, persembahan Malaysia yang kalah 0-3 dalam aksi persahabatan di Stadium Shah Alam itu jauh daripada apa yang dijangkakannya.

Dia menganggap anak-anak buah Dollah Salleh terlalu memberi banyak ruang dan kerap me­lakukan kesilapan di bahagian pertahanan, sekali gus memudahkan kerja-kerja mereka mendapatkan jaringan.

“Sebelum perlawanan, saya ingat perlawanan ini amat sukar, namun setelah masuk ke dalam padang segalanya tampak mudah bagi kami dengan mendapat banyak peluang.

“Malaysia melakukan banyak kesilapan terutama dalam kawasan pertahanan dan itu memang sesuatu yang baik kepada kita untuk menang dalam perlawanan ini, ” katanya.

Tambah Al Fakeer yang akan membawa skuadnya ke Indonesia pada 15 November ini, dia berasakan dua gol awal yang diperolehi pada setiap babak permainan menjadi faktor kemena­ngan Syria.


“Walaupun kami tiga gol, sebenarnya kami mendapat banyak peluang bagi mendapatkan jari­ngan, ” katanya.

Sementara itu Dollah mengakui, pertahanan adalah bahagian paling lemah dalam perlawanan itu sambil menyifatkan kebanyakan pemain berada dalam kea­daan statik semasa lawan menyerang.

“Banyak kesilapan mudah dilakukan oleh pemain pertahanan dan cara mereka mengawal pemain lawan juga tidak terlalu ketat sehingga membuka ruang kepada lawan mengatur permainan sendiri serta terlalu statik di kawasan sendiri.

“Secara keseluruhan saya tidak gembira dengan tahap permainan kita kerana pada separuh masa pertama, kita beraksi cukup baik,” kata Dollah.

Ramai yang menganggap para pemain skuad Harimau Malaya itu kekurangan semangat patriotik sehingga begitu mudah hilang fokus untuk menyaingi kehebatan Syria.

Para pemerhati juga mendapati beberapa pemain dilihat gagal memberikan prestasi terbaik berbanding ketika beraksi dengan pasukan negeri yang mereka wakili.

Selain itu, kekalahan itu juga menimbulkan rasa panik buat peminat-peminat terhadap kemampuan Harimau Malaya untuk memberi cabaran pada kempen Piala AFF Suzuki 2014 yang akan bermula di Sigapura pada 23 November ini.

Pada kempen Piala AFF Suzuki, Harimau Malaya diundi dalam Kumpulan A bersama-sama tuan rumah, Singapura, Thailand dan Myanmar.

Kekuatan kesebelasan utama pada aksi menentang Syria itu juga dilihat tidak begitu ampuh dan ia merupakan kekalahan ketiga yang dialami Harimau Malaya dalam empat aksi persahabtan yang mereka harungi setakat ini.


Sejak Dollah mengambil alih tugas jurulatih Harimau Malaya, mereka sekadar mencatat satu kemenangan iaitu ketika menewaskan Kemboja 4-1 dua bulan lalu.

Perlawanan-perlawanan lain menyaksikan mereka tewas 0-4 kepada Tajikistan, tewas 0-2 kepada Indonesia dan terbaharu tewas 0-3 kepada negara bergolak, Syria.

Dollah ketika ditemui semalam menjelaskan bahawa dia kecewa dengan mutu permainan yang dipamerkan skuad kendaliannya pada aksi menentang Syria malam kelmarin.

“Pada aksi separuh masa pertama, kami bermain dengan baik walaupun dibolosi seawal minit ketiga. Saya fikir mutu permainan kita menurun selepas gawang kami bolos lagi pada awal babak kedua dan daripada saat itu, para pemain tidak dapat mengikut rentak seperti aksi pada separuh masa pertama.

“Sejujurnya, saya memang kecewa. Di situ, kita nampak pemain-pemain tidak boleh mengikut rentak Syria. Mereka telah menunjukkan satu permainan bola sepak yang menarik.

“Jadi, kita harus belajar dan terus berusaha untuk mengatasi segala kelemahan.

“Secara keseluruhannya, saya juga melihat semangat berpasukan begitu lemah dan saya tidak gembira kerana sepatutnya kami boleh beraksi dengan lebih baik.

“Apa pun, saya tetap yakin kita boleh buat lebih baik di pentas Piala AFF Suzuki 2014 nanti,” kata Dollah.