Rooney layak dilabel antara pemain terhebat England – Hodgson

wayne rooneyLONDON: Penyerang sensasi, Wayne Rooney layak untuk dianggap sebagai salah seorang pemain terhebat dimiliki England, kata pengurus skuad kebangsaan, Roy Hodgson.

Penyerang Manchester United itu dijadualkan beraksi pada penampilan ke-100 bersama England ketika menentang Slovenia, awal pagi ini dalam perlawanan kelayakan Euro 2016.

Pencapaian itu sekali gus membawa Rooney di kelompok elit lapan pemain England yang pernah meraih status sama.

Begitupun, ia mencetus debat di kalangan media Britain yang kurang yakin pencapaian dilakar itu boleh menyenaraikannya antara terbaik di England terutama selepas sering bergelut untuk mempamer prestasi terbaik di kejohanan utama namun disangkal Hodgson.


“Sukar untuk meringkaskan dengan beberapa perkataan saja apa yang menjadikan seseorang itu pemain terhebat di England yang mampu mencapai 100 kaps,” kata Hodgson.

“Ia adalah kemampuan namun turut berkait dengan kekuatan mental dan mampu bangkit apabila kamu berada dalam masalah dan kedua semangat yang besar untuk bermain dengan negara kamu.

“Mereka boleh menerima kritikan dan dinilai, mereka menunjukkan kekuatan mental untuk bangkit lebih kuat berbanding sebelum ini. Sebarang pemain yang beraksi 100 kali untuk England boleh dilabel ‘hebat’,” katanya.

Rooney memulakan kerjaya antarabangsa pada 2003 dan hanya kurang enam gol daripada rekod yang dipegang legenda, Bobby Charlton sebagai penjaring gol terbanyak England dengan 49 gol.


Bercakap di sebelah Hodgson, Rooney berkata dia terus berharap dapat mencetus impak lebih besar buat England di pentas antarabangsa.

“Ada beberapa masa yang baik dan buruk,” kata Rooney. Apapun, ia sesuatu yang saya amat nikmati. Adalah kebanggaan yang besar bermain untuk England dan ia sesuatu yang amat saya harapkan untuk teruskan dalam tempoh beberapa tahun lagi.

“Sasaran kami adalah memenangi trofi namun untuk menyertai senarai pemain yang memperoleh 100 kaps adalah sesuatu yang amat saya banggakan. Saya fikir saya boleh mencapai sesuatu yang lebih,” katanya.

England ketika ini menghuni tangga teratas Kumpulan E selepas mengumpul sembilan mata maksimum. – Reuters