POLIS EDAR FOTOFIT SUSPEK KES LARIKAN KANAK-KANAK 10 TAHUN

Kota Baharu, 17 Nov – Polis telah mengenal pasti seorang lelaki disyaki terbabit kes cuba melarikan kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun di Kampung Aril, Melor di sini pada Jumaat lalu dan sudah mengedarkan lakaran wajah atau ‘fotofit’ suspek berusia lingkungan 20-an itu.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata suspek berbadan kurus tinggi, menggunakan dialek Kelantan dan menaiki kereta Proton Saga lama.
Setakat ini hanya seorang suspek dikenal pasti, katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, hari ini.

Sebelum ini akhbar melaporkan seorang kanak-kanak iaitu Irisha Devia diculik sewaktu menunggang basikal bersama rakan di hadapan rumahnya di Kampung Aril, Melor di sini, Jumaat lalu.

Gambar suspek

Kanak-kanak itu bertindak nekad melarikan diri dari kereta penculik tersebut dengan berlari sejauh satu kilometer meredah air paras dada di kawasan bendang dan semak.


Irisha terpaksa menahan kesakitan apabila badan, tangan dan kakinya terkena duri ketika melarikan diri.

DCP Datuk Mazlan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu segera tampil memberi kerjasama kepada polis.

“Kita tidak mahu kejadian seperti ini berulang dan saya minta orang ramai yang terlihat suspek atau mempunyai apa-apa maklumat mengenainya segera melaporkan kepada polis di balai polis berhampiran.

“Kami pandang serius kejadian tersebut dan sekiranya tidak diambil tindakan segera berkemungkinan suspek akan kembali bergiat aktif,” katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 361 Kanun Keseksaan yang dihukum mengikut Seksyen 363 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.


Imbas kembali kejadian

“Saya terpaksa berlari sejauh satu kilometer meredah air paras dada di kawasan bendang dan semak bagi menyelamatkan diri daripada penculik.”

IRISHA DEVIA menunjukkan kesan calar pada tangan terkena duri semasa melarikan diri daripada penculik di Kota Bharu, Kelantan, semalam.

Begitulah pengalaman pahit yang terpaksa ditempuhi Irisha Devia, 10, ketika melarikan diri daripada penculik dalam kejadian di Banir Belikung, Pasir Puteh semalam.

Irisha juga terpaksa menahan kesakitan apabila badan, tangan serta kakinya terkena duri ketika melarikan diri di kawasan berkenaan.

Dalam kejadian semalam, Irisha bertindak nekad melarikan diri daripada kereta yang membawanya selepas menjadi mangsa culik di depan rumahnya di Kampung Aril, Melor di sini.

Penjenayah yang menaiki kereta jenis Proton Saga itu bertindak melanggar mangsa dari belakang ketika dia sedang menunggang basikal bersama seorang lagi rakannya.

Menceritakan detik tersebut, Irisha berkata, sewaktu diculik pada pukul 3.30 petang, dia sedang menunggang basikal bersama rakannya berhampiran rumah mereka.

Katanya, secara tiba-tiba sebuah kereta telah melanggar mereka sehingga terjatuh sebelum seorang lelaki keluar daripada kenderaan berkenaan.

“Lelaki itu berpura-pura bertanya kepada saya mengenai kecederaan yang dialami akibat daripada kemalangan itu sebelum bertindak menarik saya masuk ke dalam kereta.

“Saya kemudiannya menjerit. Lelaki itu menyuruh saya diam. Dia kemudian memandu kereta dengan sebelah lagi tangannya mengepit tubuh saya. Saya hanya fikir untuk menyelamatkan diri ketika itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini.

Tambah Irisha, ketika sampai di Pasir Puteh, kereta penjenayah itu tersekat di dalam tanah berlumpur di sebatang jalan di kawasan berkenaan.

Katanya, ekoran itu, penjenayah terbabit telah menghubungi rakannya untuk membantu menolak kereta tersebut.

“Apabila kawannya datang, dia menyuruh saya menyorok dalam semak dan tidak melarikan diri. Saya bagaimanapun mengambil kesempatan itu untuk melarikan diri.

“Saya berlari sekuat hati dan mengharung bendang dan akhirnya saya sampai di sebuah rumah dan meminta bantuan daripada seorang wanita. Wanita itu kemudian membawa saya ke Balai Polis Selising,” kata anak kedua daripada tiga beradik itu.

Sementara itu, bapa mangsa, Surendharan Kumar, 49, melahirkan rasa syukur kerana anaknya terselamat daripada menjadi mangsa penculikan tersebut.

“Saya bersyukur kerana anak saya dijumpai semula. Anak saya boleh dikatakan bernasib baik. Tidak tahu apalah yang berlaku jika dia menjadi mangsa penculik itu.

“Saya berharap supaya kejadian ini tidak berulang lagi kepada anak saya atau anak-anak yang lain,” katanya.