Paulo Rangel Dakwa Dah 3 Bulan FAS Tak Bayar Gaji

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) terus dilanda kontroversi berhubung isu pembayaran gaji pemain apabila penyerang import pasukan Red Giants, Paulo Rangel memberitahu umum dia tidak menerima bayaran seperti dijanjikan oleh FAS sejak tiga bulan lalu.

Rangel melalui media sosial Instagram melahirkan rasa kesal atas apa yang berlaku serta mengumumkan akan meninggalkan pasukan Selangor jika kemelut itu tidak dapat diselesaikan sehingga minggu depan.

“Saya amat sedih apa yang Selangor lakukan kepada saya selepas apa yang saya lakuan untuk pasukan. Kegembiraan menandatangani kontrak bersama Selangor telah berubah kepada sedih kerana hingga sekarang mereka tidak membayar saya seperti apa yang telah dijanjikan,” katanya hari ini.


Paulo

Sehubungan itu, Rangel yang dinobatkan sebagai penjaring terbanyak Liga Super 2014 berharap penyokong Selangor memahami keadaannya kerana dia juga seperti mereka yang perlu bekerja untuk hidup.

Rangel turut menjelaskan, ramai pihak tidak memahami masalah yang dihadapi dirinya dan pemain Azmi Muslim pula memberi komen dalam Instagram tersebut bahawa semua pemain Selangor menerima nasib serupa.


Keluhan Rangel itu menimbulkan kemarahan ramai penyokong Red Giants yang rata-rata menyalahkan FAS di atas situasi yang dianggap memalukan bola sepak Selangor.
– MYNEWSHUB.CC