Kedah Menunggu Kedatangan Import Dari Afrika dan Jepun

Kedah 2014ALOR SETAR, 18 Nov: Kedah akan mendapatkan khidmat tiga pemain import dari negara Afrika dan seorang dari Jepun untuk memperkuatkan pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia, musim depan.

Kesemua pemain terbabit dijangka tiba di Alor Setar pada 22 November ini.

Setiausaha Kehormat, Persatuan Bolasepak Kedah, KFA, Aminuddin Omar berkata, dua pemain masing-masing dari Kenya dan Liberia bermain di posisi serangan.


“Mereka ini pernah bermain bersama pasukan kebangsaan masing-masing dan sekarang ini mereka bermain dalam divisyen 1 bersama kelab masing-masing yang kita bawa dan mereka masih lagi bermain dan yang lebih kita berminat ialah mereka ini sedang bermain, bermaksud mereka bebas daripada sebarang kecederaan, mereka masih lagi fit untuk bermain di padang…” Katanya kepada Berita KEDAHfm di sini.

Beliau berkata, Kedah juga akan mendapatkan khidmat seorang pemain dari Jepun yang beraksi di posisi tengah manakala seorang lagi pemain import dari Afrika beraksi di posisi pertahanan.

Katanya, kesemua pemain berkenaan memenuhi ciri-ciri yang ditetapkan oleh KFA bagi membentuk jentera pasukan yang lebih mantap.

Slot Penyerang tempatan bakal diisi oleh bekas penyerang Kedah, Shakir Ali yang berpindah dari Kelantan setelah KFA melepaskan Khyril Muhymeen yang menyertai N. Sembilan.


Musim ini, Kedah menggunakan khidmat penyerang dari England, Billy Osman Mehmet; Namkung Woong dari Korea Selatan; Adam Griffith dari Australia dan Jose Franco Gomez.

Bagaimanapun, kesemua pemain tersebut digugurkan dan difahamkan Billy Osman Mehmet bakal menyarung jersi Sarawak. – Kedahfm