Dollah Sudah Miliki Kesebelasan Terbaik Bertemu Syria

dollah-sallehJurulatih kebangsaan, Dollah Salleh memiliki kesebelasan terbaik menjelang aksi persabatan menentang Syria Rabu ini, sebelum berdepan ujian sebenar pada Piala Suzuki AFF nanti.

Selepas seminggu mengadakan fasa latihan di Johor Bahru, Dollah nyata berpuas hati dengan persiapan yang diadakan buat barisan negara kecuali kecederaan kecil yang dialami oleh Aidil Zafuan Abdul Razak, Safiq Rahim dan R.Gopinathan.


Namun difahamkan kecederaan yang dialami oleh ketiga-tiga tonggak utama pasukan Harimau Malaya itu tidak serius.

Tonggak veteran skuad kebangsaan, Shukur Adan dijangka memainkan peranan penting buat Dollah dalam menggerakkan formasi 4-1-3-2 yang dicanangnya.

Shukur mendapat perhatian Dollah berikutan kecemerlangan Felda United dalam liga Malaysia sejak kebelakangan ini, selain Indra Indra Putra Mahayuddin juga tersenarai dalam perancangan skuad negara.

Safee juga antara nama penting dan diramal akan diturunkan dengan menjadi sandaran utama untuk memburu gol. Biarpun Safee tidaklah kerap diturunkan dalam kesebelasan kelabnya, Johor Darul Takzim (JDT), namun ia tidak mencalar kepercayaan Dollah terhadapnya.

Dua lagi pemain JDT, dijangkakan akan beraksi iaitu Mahali Jasuli, Fadhli Shas di bahagian belakang bagi membantu Khairul Fahmi Che Mat bagi mengawal gawang negara.


Penglibatan Gopi masih belum boleh diduga memandangkan beliau dilaporkan masih belum pulih sepenuhnya, namun barisan depan negara pasti akan mengharapkan Azamuddin Akil untuk membantu Safee. Dua tonggak ini antara pemain penting, lebih-lebih lagi baru sahaja membantu Pahang memenangi Piala Malaysia 2014.

Sama-sama kita terus menyokong Harimau Malaya yang bakal turun menentang Syria dalam aksi persahabatan di Stadium Shah Alam, Rabu ini.