Dollah Mahu Aksi Terbaik Bertemu Syria Rabu ini

Harimau Malaya Dollah SallehJurulatih skuad kebangsaan, Dollah Salleh berharap anak buahnya dapat memberikan persembahan terbaik ketika menentang Syria dalam perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam, Rabu ini.

Beliau berkata perlawanan persahabatan itu kelak mampu menguji persediaan pasukan dalam menghadapi saingan Kumpulan B Piala AFF Suzuki di Singapura pada 23 Nov ini.

“Saya amat mengharapkan dalam perlawanan persahabatan dengan Syria kelak, kita akan dapat memberikan saingan walaupun kita tahu kedudukan pasukan Timur Tengah itu telah mencapai tahap Eropah,” katanya.


Dollah berkata demikian sebelum skuad Harimau Malaya menentang skuad Piala Presiden Johor dalam satu perlawanan persahabatan di Stadium Kluang.

Beliau berkata persiapan yang dilakukan oleh pasukan kebangsaan selama seminggu di Johor membuatkan pasukannya lebih berkemampuan untuk bersaing dengan Syria.

Skuad negara akan pulang ke ibu negara selepas perlawanan persahabatan tersebut.

Mengenai latihan skuad Harimau Malaya di padang tiruan di Stadium Kluang, beliau berkata, ia sedikit sebanyak mampu menyediakan pemain-pemainnya untuk berhadapan dengan padang tiruan di Stadium Jalan Besar, Singapura.


Menurut beliau, kualiti padang tiruan di Stadium Kluang adalah jauh lebih baik daripada Stadium Jalan Besar di republik itu, namun pemain-pemain kebangsaan lebih minat bermain di padang rumput asli.

Menyentuh tahap kecergasan pemain-pemain kebangsaan, Dollah berkata semuanya berada dalam keadaan baik kecuali kecederaan kecil yang dialami oleh Aidil Zafuan Abdul Razak, Safiq Rahim dan R.Gopinathan.

Namun kecederaan yang dialami oleh ketiga-tiga tonggak utama pasukan Harimau Malaya itu tidak serius, katanya.