Akui Tidak Popular, Neuer Tidak Yakin Akan Menang Ballon d’Or

Manuel Neuer“Saya tidak akan menang anugerah Ballon d’Or ke­rana saya tidak bergambar dengan hanya berseluar dalam.”

Itu kata penjaga gol handalan Jerman, Manuel Neuer tatkala menyindir bintang Cristiano Ronaldo yang didakwa bakal mempertahankan anugerah Pemain Terbaik Dunia kerana imejnya dan bukan skil.

Neuer, yang membantu Jerman merangkul Piala Dunia buat kali keempat di Brazil Julai lalu, turut ber­ada dalam senarai 23 calon akhir untuk merebut anugerah berprestij itu.


Namun penjaga gol Bayern Munich berusia 28 tahun itu merasakan peluangnya untuk menang amat tipis kerana dia memilih untuk tidak terlalu menonjol di luar padang berbanding Ronaldo.

Neuer percaya, sikapnya yang tidak gemar de­ngan gaya hidup ‘karpet merah’, selain tidak ma­hu bergambar separuh bogel akan me­nyebabkan dia terlepas pe­­­­luang untuk menjadi yang ter­baik di ma­ta pi­­­hak ter­tentu.

Sebaliknya, dia percaya gaya hidup Ronaldo atau bintang penye­rang Argentina, Lionel Messi yang jauh lebih glamor akan menjadikan mereka calon utama untuk memenanginya.

“Saya seorang ahli sukan, bukan duta jenama.

“Selain memperagakan pakaian untuk Adidas sebagai penjaga gol utama, saya bukan lelaki yang akan bergambar dengan seluar dalam.

“Saya tidak suka karpet merah, saya lebih gemar rumput hijau. Saya rasa lebih selesa berada di atas padang dan cuba menjadi sebaik yang mungkin,” katanya kepada majalah bola sepak Kicker.

Sekiranya Neuer pulang bersama anugerah Ballon d’Or, dia akan menjadi penjaga gol pertama melakukannya sejak Lev Yashin dari Rusia dinamakan sebagai Pemain Terbaik Dunia 1963.

Walaupun dianggap antara pemain terbaik Jerman dalam Piala Dunia lalu, Neuer percaya, peluang untuk seorang penjaga gol dinobat sebagai pemenang Ballon d’Or amat tipis.


“Selepas setiap perlawanan, perkara utama yang akan diperkatakan adalah gol yang terhasil, peluang yang dicipta serta pemain yang paling banyak melakukan gerakan gol.

“Penonton tidak ingat siapa penjaga gol yang menyelamatkan percubaan sukar, mengambil risiko di belakang untuk menyelamatkan gawang mereka,” katanya lagi.

Tidak seperti Neuer, populariti Ronaldo dan Messi sangat besar. Mereka dijadikan sasaran oleh syarikat-syarikat gergasi untuk menjadi duta bagi memasarkan barangan mereka ke seluruh dunia. – AGENSI