43 Pelajar Di Bunuh Kartel Dadah Mexico, Datuk Bandar Jadi Dalang

10hmmexico3.transformed
Jose Luis Abarca dan isterinya, Maria de los Angeles Pineda

Mexico City: Kumpulan 43 pelajar dari Sekolah Raul Isidro Burgos di Ayotzinapa itu gembira meninggalkan asrama mereka untuk memulakan perjalanan ke selatan Mexico.

Matlamat mereka hanya mahu mengumpul dana.

Sebahagian daripada mereka ialah pelajar jurusan undang-undang yang menamatkan pengajian untuk menjadi guru.

Sesetengah lagi sekadar peminat lagu rock yang gemar bergurau dengan rakan lain.


Namun, perjalanan itu bertukar tragedi apabila mereka tiba di Iguala pada 26 September lalu.

Polis tempatan melepaskan tembakan ke arah empat bas dinaiki sebelum mereka dikepung dan diserahkan kepada kumpulan pengedar dadah Guerreros Unidos.

Enam minggu kemudian, tiga anggota Guerreros Unidos mengaku membunuh kumpulan terbabit sebelum membakar mayat mangsa.

Sisa mayat yang rentung itu dihancurkan sebelum disumbat ke dalam guni untuk dibuang ke sungai.

Pihak berkuasa berkata, serangan itu diarah Datuk Bandar Iguala ketika itu.

Tanpa disyaki sesiapa, Datuk Bandar Iguala, Jose Luis Abarca dan isterinya, Maria de los Angeles Pineda, mengarahkan polis menahan pelajar terbabit kerana membuat bising di suatu majlis kerajaan.

Sumber berkata, pelajar terbabit mengganggu ucapan diberi Maria.

Wajah mangsa

Sementara itu, di Ayotzinapa, waris dan rakan mangsa masih belum dapat menerima kenyataan pelajar terbabit kini tinggal kenangan.

Kebanyakan mereka semalam berkata, kerajaan Mexico tidak boleh dipercayai sejak sekian lama.

Kata mereka, pengesahan DNA mesti diberi bagi memastikan pelajar terbabit benar-benar sudah mati.

Antara pelajar yang dibunuh itu ialah pemuda Tlapanec dari kawasan pedalaman Guerrero, Abel Garcia Hernandez.

Abangnya, Oscar, berkata Hernandez, 19, bercita-cita mahu menjadi guru bahasa Sepanyol dan Mixtec.

“Ibu kami belum tahu apa yang berlaku,” katanya.

Bagi ibu bapa Cesar Manuel Gonzalez, 21, mereka terlalu terkejut dengan apa yang berlaku.

Bapanya berkata, Gonzalez berhenti belajar undang-undang untuk menjadi guru selepas melakukan kerja amal di kawasan luar bandar.

“Sebelum hilang, dia mengubungi saya dua kali.


“Dia gembira dan hingga kini saya seolah-olah terdengar dia menyanyi keriangan,” katanya.

Pengesahan pembunuhan 43 pelajar Mexico yang hilang sejak enam minggu lalu bukan saja membawa penamat penuh tragik kepada keluarga mangsa, malah mendedahkan betapa meluasnya dominasi kumpulan pengedar dadah di rantau itu.

Guerreros Unidos ialah cabang kartel Beltran Leyva dan suatu ketika dulu amat berpengaruh di Iguala.

Kumpulan itu kemudian merosot apabila ketua mereka, Arturoa Beltran Leyva mati pada 2009.

Mereka antara sindiket yang beroperasi di Guerrero dan mempunyai rekod terbabit dalam perebutan wilayah pengedaran dadah dengan musuh nombor satunya, Los Rojos (The Reds).

Menurut pihak berkuasa, kegiatan utama mereka adalah mengedar candu dan ganja untuk dibekalkan ke Chicago, Amerika Syarikat.

Kumpulan itu kini disyaki diketua Sidonio Casarrubias yang ditahan pada 17 Oktober lalu.

Ekoran siasatan pihak berkuasa, Abarca dipecat.

Digelar Pasangan Diraja, mereka kemudian menghilangkan diri sebelum ditangkap pihak berkuasa minggu lalu. – AFP