UCL: United berdepan ujian getir Bayern

London: Manchester United yang baru-baru ini diperlekehkan Liverpool serta Manchester City di Old Trafford, bakal berdepan ujian lebih getir apabila juara bertahan Liga Juara-Juara, Bayern Munich bertandang ke gelanggang keramat itu awal pagi esok.

Menduduki tangga ketujuh Liga Perdana Inggeris pada musim pertama dibimbing David Moyes, United hanya layak di gelar skuad bukan pilihan sepanjang dua aksi timbal balik suku akhir menentang juara Bundesliga itu.

Satu-satunya perkara yang mungkin boleh membuatkan Moyes merasa lega ialah catatan rekod 19 kemenangan Bayern tamat apabila sekadar seri 3-3 ketika menentang Hoffenheim manakala United sendiri membelasah Aston Villa 4-1.

United semakin jauh daripada pujian tidak seperti ketika di bawah bimbingan Alex Ferguson tetapi aksi mereka di dalam saingan Liga Juara-Juara agak baik dan jauh berbeza dengan persembahan di Liga Perdana Inggeris.

Juara Inggeris itu menang semua empat perlawanan di tempat sendiri dalam saingan Liga Juara-Juara tetapi Bayern yang diuruskan Pep Guardiola, menang semua tujuh aksi kejohanan itu di tempat lawan. Mereka turut pernah menewaskan United menerusi sistem jaringan di tempat lawan ketika kedua-dua pasukan bertemu di peringkat sama pada 2010.

“Kami tidak boleh membiarkan kedudukan semasa Manchester United di Liga Perdana Inggeris sebagai kayu pengukur kekuatan mereka,” kata kapten pasukan, Philipp Lahm.

“Kami akan bertandang ke Manchester dan bakal menerapkan permainan menyerang kerana kami mahu menjaringkan gol. Saya tidak fikir bermain di tempat lawan pada perlawanan pertama boleh menyusahkan kerana tahun lalu, kami bermain di tempat sendiri pada perlawanan pertama dan kami muncul juara.

“Apa yang penting bagi kami ialah kami perlu menjaringkan gol di tempat lawan,” kata Lahm.

Satu lagi faktor yang mungkin boleh melegakan Moyes ialah mereka berjaya menewaskan Olympiakos Piraeus 3-0 di Old Trafford pada pertemuan kelompok 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara sebelum ini.

Ketiga-tiga gol dihasilkan Robin van Persie tetapi pemain itu tidak dapat diturunkan pada kedua-dua perlawanan menentang Bayern gara-gara kecederaan tetapi Wayne Rooney tetap tidak boleh diperkecilkan terutama selepas penyerang England itu meledak dua jaringan ketika menentang Villa.

Moyes pula tidak melihat aksi di tempat sendiri pada perlawanan pertama sebagai satu kerugian.

“Sekarang, banyak pasukan mengamalkan corak menyerang terutama apabila bermain di tempat lawan. Justeru, tidak ada bezanya sama ada bermain di tempat sendiri atau tidak,” katanya.

Saksikan perlawanan ini secara live streaming di sini.