PSG lawan yang setanding – Mourinho

LONDON – Jose Mourinho me­ngakui, beberapa bintang utamanya leka ketika The Blues tewas 1-0 kepada Crystal Pa­lace dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris, Sabtu lalu, namun gergasi bola sepak Perancis, Paris Saint Germain (PSG) adalah sebuah pasukan cukup besar untuk mengembalikan fokus mereka.

Kekalahan minggu lalu memberi tamparan buat Mourinho dalam usaha pasukan memburu kejuaraan liga dan pengurus kelahiran Portugal itu tidak menafikan, status kelab kerdil yang dipegang Crystal Palace menyebabkan ada beberapa pemainnya mengambil mudah perlawanan tersebut.

Namun, semua pemain cukup bersedia untuk bangkit apabila bertandang ke Paris esok kerana menyedari, pasukan yang bakal ditentang dalam saingan suku akhir Liga Juara-juara adalah lawan yang setanding.

“Tidak banyak yang perlu saya baiki dalam pasukan selepas kekalahan kepada Crystal Palace kerana menentang Paris Saint Germain adalah perlawanan yang memang digemari oleh pemain-pemain kami.

“Ia perlawanan besar dan kami akan beraksi di stadium yang hebat. Pesaing kami memiliki ramai pemain berkualiti, manakala pengadil pula terdiri daripada mereka yang berkelas dunia, jadi reputasi perlawanan itu sendiri akan memberi motivasi kepada pasukan kami.

“Saya yakin, pemain kami akan bangkit dan memberikan aksi jauh lebih baik kerana itu sifat semula jadi mereka. Kamu boleh menjangkakan satu pertarungan yang lebih hebat,” kata Mourinho.

Menurut Mourinho, mentaliti pemainnya juga berbeza apabila menentang pasukan besar seperti Arsenal, Manchester City, Liverpool dan Manchester United, berbanding pasukan kecil seperti Palace, West Brom atau Stoke City, kelab yang bakal menanti mereka menuju ke penghujung musim.

Mourinho kini dalam landasan untuk menjadi pengurus pertama memenangi tiga gelaran Liga Juara-juara bersama kelab yang berbeza selepas kecemerlangan dengan Porto pada 2004 dan Inter Milan enam tahun lalu.

Kata Mourinho untuk aksi menentang PSG beberapa pemainnya seperti penyerang Samuel Eto’o dan pemain pertahanan, Ashley Cole tidak dapat diturunkan kerana me­ngalami kecederaan. – REUTERS