Kongres AFF Usul Asia Tenggara Anjur Piala Dunia 2034

JAKARTA, 1 April  — Kongres tahunan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) di Medan, Sumatera berakhir dengan usul agar Asean menganjurkan Kejohanan Piala Dunia 2034 yang akan dikemuka kepada negara anggota untuk dipertimbangkan.

Setiausaha Agung AFF Datuk Azzuddin Ahmad berkata penganjuran Piala Dunia itu penting untuk pembangunan bola sepak di semua negara anggota AFF.

“AFF komited untuk menganjurkan Piala Dunia 2034 di Asean. Kami belum lagi memutuskan negara tuan rumah (untuk kejohanan itu),” katanya dipetik oleh Jakarta Post pada Isnin.

“Cadangan ini amat penting ke arah pembangunan sukan bola sepak di semua negara anggota dalam usaha kita bersaing dengan negara lain, terutama di Eropah dan Amerika Selatan,” katanya lagi.

Kongres ke-11 itu berlangsung dari Jumaat hingga Ahad dan disertai oleh wakil dari 12 negara iaitu Singapura, Thailand, Malaysia, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Vietnam, Brunei, Kemboja, Timor Leste dan Australia.

Kongres juga membincangkan pelbagai program untuk tahun ini selain menilai kegiatan tahun lepas.

Sementara itu Pengerusi Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI) Djohar Arifin Husein berkata selain cadangan menganjurkan Piala Dunia, kongres juga memutuskan penganjuran beberapa kejohanan termasuk Kejohanan AFF Wanita Bawah 19 pada Ogos ini di Thailand, Kejohanan Futsal AFF di Malaysia pada September dan Piala AFF Suzuki 2014 di Vietnam.

Pusingan kelayakan Piala AFF Suzuki akan berlangsung di Laos dari 12 hingga 20 Okt sementara peringkat kumpulan akan diadakan dari 22 hingga 29 Nov.

Singapura akan menjadi negara tuan rumah bagi Kumpulan A sementara Vietnam gelanggang Kumpulan B. Perlawanan separuh akhir pertama dijadualkan pada 6 dan 7 Dis manakala perlawanan kedua pada 10 dan 11 Dis.

Perlawanan akhir pertama akan diadakan pada 17 Dis dan perlawanan timbal balik pada 20 Dis. — BERNAMA